Petaling Jaya: Pelakon kelahiran Pulau Pinang, Lim Pik-Sen yang dikenali menerusi watak Chung Su-Lee dalam sitkom British, ‘Mind Your Language’ meninggal dunia pada usia 80 tahun.
Pik-Sen dikenali pada akhir tahun 1970-an sebagai Su-Lee, seorang pelajar dari China yang bahasa Inggerisnya tunggang-langgang dan sering memetik kata-kata ‘Mao Zedong’ yang mencuit hati penonton dalam siri TV popular British itu.
Wataknya, dengan tanda dagang “little Red Book”, cukup sinonim dengan dirinya hingga menjadi salah satu figura paling dikenali di televisyen British, dan wajah yang tidak asing lagi di United Kingdom (UK) serta Malaysia.
Pik-Sen, anak kepada ahli perniagaan Lim Cheng Teik, meninggal dunia pada Isnin, berdasarkan ucapan takziah yang dikongsikan oleh rakan-rakan dan kenalan mendiang.
Pelakon Daniel York, yang pernah bekerja bersamanya dalam teater dan drama audio, mengenangnya dengan penuh kasih di Facebook: “Dia sangat menggembirakan – penuh dengan kasih sayang, gelak tawa dan kenakalan.
“Bakat komedinya membuat anda rasa selamat di atas pentas. Suara unik dan tenaganya yang berani memberi semangat kepada kami.
“Kami berkongsi ejen yang sama selama lebih 25 tahun. Dia akan sangat dirindui,” katanya.
Peminat “Mind Your Language” turut memberi penghormatan dalam kelompok Facebook khas dengan lebih 675,000 ahli.
“Dia adalah pengikut terhebat Pengerusi Mao,” gurau pelakon Rafsan Tahmid, merujuk kepada salah satu dialog ikonik Su-Lee dalam sitkom terbabit.
Institut Filem British pernah menggambarkan Pik-Sen sebagai “pelakon Cina yang paling dikenali di televisyen British sepanjang tahun 1970-an dan 1980-an”.
Sebelum terkenal dalam sitkom itu, Pik-Sen sudah pun mencipta nama di televisyen British.
Pada tahun 1960-an, beliau memegang watak sebagai Jururawat Kwei dalam “Emergency Ward 10”, salah satu drama perubatan terawal di Britain.
Peranannya sebagai jururawat Cina yang fasih berbahasa Inggeris dan jatuh cinta dengan seorang doktor dianggap mendahului zaman pada ketika itu.
Dalam satu temu bual pada tahun 1984 bersama The Straits Times, Pik-Sen mengimbau kembali kontroversi yang tercetus apabila dia bergambar untuk promosi dalam pakaian mini-cheongsam ketika era popularnya skirt mini. Gambar itu menjadi tajuk utama di negara kelahirannya.
Ayahnya, yang tidak pernah melawatnya di London, hanya melihatnya di televisyen apabila rancangan itu ditayangkan di Malaysia.
Walaupun fasih berbahasa Inggeris, Pik-Sen terpaksa melatih dirinya untuk bertutur dalam bahasa Inggeris yang tunggang-langgang untuk wataknya dalam “Mind Your Language”, dengan sengaja menukar sebutan huruf L dan R.
© New Straits Times Press (M) Bhd
