Black kongsi detik jantung dibedah

Black kongsi detik jantung dibedah

London: Pemenang tiga pingat Olimpik, Roger Black mendedahkan masalah jantungnya yang memerlukan pembedahan selama enam jam, baru-baru ini, jauh lebih serius daripada yang disangka pada awalnya.

Black memenangi pingat gangsa dalam acara 4×400 meter (m) lari berganti-ganti di Sukan Olimpik Barcelona 1992, sebelum meraih dua pingat perak dalam acara 4x400m dan 400m di Atlanta, empat tahun kemudian.

Wira Team GB itu kali pertama didiagnosis dengan masalah jantung pada usia 11 tahun apabila keadaan menyebabkan injap aortanya tidak tertutup dengan sempurna.

Ia semakin teruk sepanjang tahun lalu dengan tahap sebenar masalah itu hanya dapat dikenal pasti dalam pemeriksaan tahunan pada September.

Keputusan pemeriksaan menunjukkan injap jantungnya merosot dengan ketara, memberi tekanan kepada akar aorta yang menyebabkan keseluruhan saluran darah aorta mula membengkak secara berbahaya.

Keadaan itu memerlukan pembedahan jantung terbuka yang berisiko tinggi, dan ada pesakit yang tidak sedarkan diri selepas prosedur.

Namun, bagi Black, tidak melakukan apa-apa akan menjadi pilihan yang lebih buruk.

Dalam prosedur itu, injap jantung baru dimasukkan dan sebahagian daripada aortanya – saluran utama yang membawa darah dari jantung – telah dibuang.

Black terpaksa bergantung pada alat sokongan hayat dan ditidurkan selama 12 jam sebelum dadanya dihiris.

“Saya tidak ingat ketika mereka mengeluarkannya. Kemudian, saya terjaga lima jam kemudian. Perkara yang paling mengejutkan dan memberi saya rasa rendah diri ialah apabila saya bercakap dengan pakar bedah tidak lama selepas saya sedar,” katanya kepada The Telegraph.

“Dia seorang yang sangat pendiam dan berkata, ‘Pembedahan berjalan dengan baik, tetapi keadaannya jauh lebih teruk daripada yang kami jangkakan; jauh lebih teruk daripada apa yang kami lihat pada imbasan MRI dan CT’.

“Sebab utama mereka membawa saya masuk (dewan pembedahan) dengan cepat adalah kerana aorta saya. Jika aorta anda membengkak dan kemudian pecah, anda tidak akan dapat diselamatkan,” kata Black.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top