Blood Brothers Mendominasi Dengan 13 Pencalonan, Jom Semak Senarai Penuh Top 5 Festival Filem Malaysia 34 (FFM 34)

Blood Brothers Mendominasi Dengan 13 Pencalonan, Jom Semak Senarai Penuh Top 5 Festival Filem Malaysia 34 (FFM 34)

Filem aksi kerjasama Skop Productions dan Primeworks Studios, Blood Brothers: Bara Naga mencipta sejarah apabila menerima pencalonan terbanyak di Festival Filem Malaysia ke-34 (FFM 34) dengan 13 pencalonan merangkumi 11 kategori utama.

Selain bersaing untuk kategori Filem Terbaik, karya arahan Syafiq Yusof dan Abhilash Chandra itu turut tercalon bagi Pengarah Terbaik, Lakon Layar Terbaik, Sinematografi Terbaik, Lagu Tema Terbaik serta Aksi & Lagak Ngeri Terbaik.

Filem ini juga tersenarai dalam kategori Penataan Bunyi Terbaik, Penataan Seni Terbaik dan Rekaan Kostum/Busana Terbaik, menjadikannya antara produksi paling menonjol tahun ini.

Turut menjadi perhatian, pelakon utama Sharnaaz Ahmad menerima pencalonan bagi Pelakon Lelaki Terbaik, manakala tiga pelakon lain – Shukri Yahaya, Syazwan Zulkifly dan Syafiq Kyle – bersaing dalam kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik.

Senarai penuh calon diumumkan pada majlis Malam Perasmian & Pengumuman Top 5 FFM34 yang diadakan di Kuala Lumpur, malam tadi.

Antara filem lain yang turut mencuri tumpuan ialah Takluk: Lahad Datu dengan 12 pencalonan, Soloz: Game Of Life (11 pencalonan) dan Kahar: Kapla High Council (10 pencalonan).

Kategori Filem Terbaik tahun ini menyaksikan persaingan sengit antara Soloz: Game Of Life, Takluk: Lahad Datu, Reversi, Blood Brothers: Bara Naga dan Babah.

Saingan kategori Pelakon Lelaki Terbaik pula melibatkan nama-nama besar industri seperti Beto Kusyairy (Reversi), Qi Razali (Babah), Sharnaaz Ahmad (Blood Brothers: Bara Naga), Aeril Zafrel (Laknat) dan Tony Eusoff (Mencari Ramlee).

Sementara itu, kategori Pelakon Wanita Terbaik menampilkan Nabila Huda (Telaga Suriram), Datin Sofea Jane (Mencari Ramlee), Khatijah Tan (Jangan Pandang Belakang, Aku Tahu Asal Usul Mu), Maya Karin (Telaga Suriram) dan Sweet Qismina (Babah).

Majlis pengumuman itu disempurnakan oleh Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, dengan kehadiran Timbalan Ketua Setiausaha Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif, Nik Kamaruzaman Nik Husin; Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia, Suhaimi Sulaiman; Pengerusi FINAS, Datuk Hans Isaac; serta Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib.

Sebagai menghargai jasa tokoh-tokoh lama industri, satu segmen penghargaan khas turut diadakan bagi meraikan pelakon Datin Rosnani Jamil, Datuk Rahim Razali, Ruminah Sidek dan pengarah Othman Hafsham.

Dalam majlis sama, turut diumumkan pemberian dana kandungan kreatif berjumlah RM1 juta kepada pemenang kategori Filem Terbaik.

FFM34 yang membawa tema Karya Kreatif, Sinema Dinamik bakal berlangsung pada 1 November ini di Angkasapuri, Kota Media, Kuala Lumpur, dan disiarkan secara langsung menerusi saluran TV2.

Jom semak senarai penuh pencalonan Top 5 untuk FFM 34:

Scroll to Top