Syarikat BMW memang terkenal dengan kereta mewah dan juga motosikal, tetapi kali ini mereka melangkah lebih jauh bukan dalam automtif sebaliknya ke dunia penerbangan. Syarikat ini membantu Lufthansa mereka bentuk kabin jet peribadi yang begitu mewah mengalahkan ruang First Class syarikat penerbangan lain
Kerjasama ini melibatkan bahagian reka bentuk mereka, BMW Designworks bersama dengan Lufthansa Technik. Hasilnya ialah satu konsep kabin pesawat baharu yang dikenali sebagai The BOW yang dipamerkan di Aircraft Interiors Expo (AIX) di Hamburg.
Apa yang menarik ialah konsep ini bukan untuk individu kaya sahaja seperti jet peribadi biasa, tetapi direka khas untuk semua kumpulan penumpang. BMW mengetengahkan idea asasnya agak mudah tetapi radikal.

Mereka mengambil pesawat narrowbody seperti Airbus A321 atau Boeing 737, yang biasanya boleh memuatkan antara 185 hingga 220 penumpang, kemudian menanggalkan semua tempat duduk tersebut. Sebagai ganti, ruang kabin diubah sepenuhnya menjadi gabungan suite peribadi, ruang lounge, dan kawasan sosial.
Jika anda melihat hasil alkhir, pesawat itu kini hanya membawa sekitar 28 penumpang dengan setiap penumpang menikmati tahap keselesaan luar biasa. Berbeza dengan jet VIP tradisional yang biasanya memfokuskan kepada seorang individu penting, konsep ini memberikan layanan mewah kepada semua penumpang.
Ia direka untukmembawa sekumpulan pengarah syarikat korporat, pasukan sukan terkenal, atau artis tular yang melakukan jelajah global untuk konsert dimana mereka yang memerlukan ruang peribadi tetapi juga kawasan untuk berinteraksi sepanjang perjalanan.

Reka letak kabin pula dibuat secara mengalir dari bahagian hadapan hingga ke belakang, memberikan rasa lebih terbuka dan bersambung berbanding pesawat biasa. Di bahagian hadapan, terdapat ruang seperti kawasan sambutan lengkap dengan bar, yang terus menghasilkan suasana mewah sebaik sahaja naik ke pesawat.
Untuk ruang tengah, terdapat ruang lounge besar yang boleh melakukan pelbagai fungsi sama ada sebagai bilik mesyuarat, ruang makan, atau tempat untuk berehat. Manakala di bahagian belakang pula, terdapat 14 suite peribadi.
Setiap suite direka untuk seorang penumpang utama bersama seorang tetamu, dan boleh ditutup untuk privasi atau dibuka bergantung kepada situasi. Setiap suite ditawarkan dengan ruang simpanan luas, cukup untuk membawa pelbagai barang seperti alat muzik atau peralatan sukan.

Pengaruh BMW jelas kelihatan pada perincian reka bentuk. Kabin ini menggunakan bentuk yang lembut, garisan bersih, dan bahan premium untuk menghasilkan suasana yang lebih tenang dan seimbang. Secara keseluruhannya, ia terasa lebih seperti ruang kediaman mewah berbanding dalaman pesawat tradisional.



