BN didakwa mahu kembali seperti dahulu

BN didakwa mahu kembali seperti dahulu

TANGKAK: Barisan Nasional (BN) Johor didakwa membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) kerana mahu kembali berkuasa seperti dahulu.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tindakan BN itu menyebabkan beliau bersama rakan-rakannya terpaksa melalui Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

“Pilihan raya tidak perlu sekarang tetapi dipaksakan juga bertanding kerana mereka rasa cukup kuat untuk berkuasa kembali. Johor ini tidak sabar, dia tengok takut terlepas nanti. sabar sekejap. Pilihan raya lambat lagi, buatlah kerja dulu.

“Cuba tanya untuk apa pilihan raya? Sebab itu rakyat kena faham tetapi dia tidak beritahu hal ini. Yang dia beritahu kepada orang Melayu, kita kena selamatkan orang Melayu daripada Cina DAP,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Jelajah Johor Ke Depan, Undi Harapan DUN Serom, di sini malam ini.

Anwar yang juga Perdana Menteri berkata, penyertaan PH dalam PRN Johor untuk memastikan kestabilan melalui kerjasama antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan.

Katanya, pentadbiran Kerajaan Negeri masih longgar kerana dibelenggu pelbagai masalah yang gagal diselesaikan.

“Apa masalah lagi di negeri Johor? Masalah negeri, negerilah tolong. Buatlah kerjasama projek besar sudah kita buat, apa yang perlu buat di Johor?

“Rumah ibadat, surau dan masjid, keberkesanan PBT (pihak berkuasa tempatan) adalah kuasa negeri, rumah rakyat rumah, kos rendah tanah negeri kenalah bagi, kalau banding kepada Kuala Lumpur kenapa kita boleh buat semua ini?

“Ini rumah kos rendah bawah kerajaan negeri, robek, buruk tidak cat. Selepas ini bagi peluang kepada PH kita ubah semua ini.

Tambahnya, pengundi perlu memberikan peluang kepada PH untuk memperbaiki segala permasalahan yang dihadapi oleh rakyat dan Johor. – UTUSAN

Scroll to Top