
Rizab antarabangsa terus menyumbang sebahagian besar kepada aset BNM, sebanyak RM509.79 bilion.
KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia (BNM) akan membayar dividen sebanyak RM5 bilion kepada kerajaan bagi 2025.
Jumlah aset pada 31 Disember 2025 berada pada RM602.22 bilion berbanding RM621.54 bilion pada tahun sebelumnya, yang sebahagian besarnya mencerminkan kesan penukaran mata wang susulan pengukuhan ringgit.
Rizab antarabangsa terus menyumbang sebahagian besar kepada aset BNM, sebanyak RM509.79 bilion (2024: RM520.13 bilion).
“Liabiliti BNM terdiri terutama daripada mata wang dalam edaran (2025: RM177.75 bilion; 2024: RM170.72 bilion) dan deposit oleh institusi kewangan (2025: RM118.06 bilion; 2024: RM131.92 bilion),” menurut BNM dalam Laporan Tahunan 2025 yang dikeluarkan hari ini.
Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, BNM mencatatkan keuntungan bersih berjumlah RM12.45 bilion (2024: RM13.16 bilion), susulan jumlah pendapatan sebanyak RM14.35 bilion (2024: RM14.98 bilion), setelah ditolak kos yang berkaitan dengan pengurusan portfolio rizab dan operasi monetari.
Pada 2025, BNM membelanjakan RM1.86 bilion untuk mengurus organisasi.
Daripada keuntungan bersih sebanyak RM12.45 bilion, sebanyak RM7.45 bilion (2024: RM7.91 bilion) akan dipindahkan kepada Rizab Risiko, yang berjumlah RM155.31 bilion pada akhir 2025 (2024: RM147.90 bilion).
“Memandangkan 85 peratus daripada aset BNM adalah dalam denominasi mata wang asing, penting bagi BNM untuk membina Rizab Risiko yang mencukupi.
“Ini membolehkan BNM menampan volatiliti pasaran kewangan serta turun naik kadar pertukaran aset mata wang asing,” jelas BNM. – Bernama
Ringkasan AI
- Bank Negara Malaysia (BNM) akan membayar dividen sebanyak RM5 bilion kepada kerajaan bagi 2025
- Aset BNM pada 31 Disember 2025 adalah RM602.22 bilion, menurun akibat pengukuhan ringgit
- Rizab antarabangsa menyumbang RM509.79 bilion kepada aset BNM
- Keuntungan bersih BNM pada 2025 adalah RM12.45 bilion
- Sebanyak RM7.45 bilion daripada keuntungan bersih dipindahkan kepada Rizab Risiko



