Bobby Husaini Pertaruh Debut Filem Pertama, Amerul Affendi & Beto Kusyairy Terajui Libang Libu

Bobby Husaini Pertaruh Debut Filem Pertama, Amerul Affendi & Beto Kusyairy Terajui Libang Libu

Dikenali sebagai pengarah iklan komersial yang sering menghasilkan karya berimpak tinggi, nama Bobby Husaini bukan asing dalam kalangan jenama korporat, khususnya setiap kali musim perayaan.

Kini, selepas lebih dua dekad dalam dunia pengiklanan, Bobby tampil dengan langkah baharu apabila mengarahkan filem sulung berjudul Libang Libu, sekali gus membuka lembaran baharu dalam perjalanan seninya.

Anak kelahiran Ipoh, Perak itu mengakui sudah tiba masa untuk mencabar diri pada skala yang lebih besar selepas lama berkecimpung dalam bidang komersial.

Bobby berkongsi dia bermula sebagai penulis iklan sebelum berkembang sebagai pengarah, dan selepas lebih 20 tahun, dia merasakan inilah waktu paling sesuai untuk mengembangkan kemampuan ke tahap berbeza. Baginya, peralihan ini adalah impian ramai pengarah iklan dan kini dia bersedia merealisasikannya.

Tambahnya lagi, penglibatan dalam filem bukan bermaksud dia meninggalkan dunia iklan, sebaliknya ia membuka ruang baharu untuk terus berkarya dalam dua medium berbeza.

“Saya bermula sebagai copywriter dan selepas lebih dua dekad, saya rasa ini masa terbaik untuk cuba sesuatu yang lebih besar. Ramai pengarah iklan ada impian sama, dan sekarang saya pilih untuk realisasikan. Saya masih akan terus buat iklan, tapi dalam masa sama nak capai impian arahkan filem,” katanya.

Mengulas tanggapan sesetengah pihak yang merasakan gaya iklannya mungkin terlalu kuat dalam filem ini, Bobby mengakui perkara itu sering dipersoalkan, namun baginya ia sesuatu yang perlu dibuktikan melalui hasil kerja.

“Ada yang risau gaya iklan saya akan terlalu nampak dalam filem ini, tapi bagi saya mudah saja, tonton dulu baru nilai. Itu memang risiko bila datang dari dunia iklan, tapi apa pun medium, saya buat karya ikut apa yang saya rasa. Kalau orang kata karya saya menyentuh perasaan, mungkin sebab mesejnya dekat dengan kehidupan,” ujarnya.

Bercerita mengenai Libang Libu yang bakal ditayangkan pada 23 April ini, Bobby tidak menolak ada yang melihat sentuhan filem ini seakan karya Allahyarham Mamat Khalid.

Namun baginya, perbandingan itu dianggap sebagai penghormatan, selain tetap mengekalkan identiti tersendiri dalam naskhah sulungnya.

“Arwah memang idola saya, tapi itu bukan sebab untuk karya saya dibandingkan secara langsung. Mungkin kerana lokasi di Perak dan inspirasi daripada masyarakat di sana, tapi filem ini bukan sekadar komedi. Ia gabungan pelbagai kisah yang dekat dengan kehidupan kita. Saya pilih Perak sebab itu kampung saya, jadi banyak elemen peribadi yang saya masukkan,” katanya.

Selain jalan cerita yang segar, filem ini turut dibintangi pelakon hebat seperti Amerul Affendi, Beto Kusyairy dan Nabila Huda yang menjadi antara kekuatan utama karya ini.

Menurut Bobby, pemilihan pelakon sangat penting kerana ramai mungkin menganggap Libang Libu hanya sebuah filem komedi, sedangkan ia membawa isu yang lebih besar.

“Saya suka bekerja dalam suasana yang selesa. Bila pelakon beri komitmen penuh, semuanya jadi lebih mudah. Ramai ingat ini sekadar filem komedi, tapi sebenarnya ada banyak isu masyarakat yang diketengahkan. Setiap watak memainkan peranan penting untuk sampaikan mesej itu.

“Cabaran terbesar bukan pada lakonan, tetapi pada penggunaan dialek Perak. Dari awal lagi saya pesan supaya pelakon tak terlalu tertekan, sebab kita juga nak penonton faham apa yang disampaikan,” katanya lagi.

Scroll to Top