'Boboi teruja cuba jet ski baharu'

'Boboi teruja cuba jet ski baharu'

bhnews@bh.com.my

BACHOK: “Menantu beli jet ski itu sehari sebelum raya dan Boboi yang juga cucu tunggal lelaki saya teruja menaikinya, malah sempat bergurau yang dia nak bawa sendiri jet ski itu ke pulau,” kata Che Jah Awang Deraman, 66.

Che Jah adalah ibu mentua kepada Mohd Zamizi Hashim, 37, yang dikhuatiri lemas bersama anaknya, Firas Naufal,4, selepas mereka menaiki jet ski baru dibeli itu di Sungai Pengkalan Baru, di sini, petang semalam.

Mayat Firas Naufal yang dipanggil Boboi ditemui pada jam 9.04 pagi tadi kira-kira satu kilometer daripada lokasi jet ski diturunkan, manakala bapanya masih belum ditemui.

Che Jah berkata, dua beranak itu bersama suaminya, Yahya Awang Loh, 69, dan anaknya yang juga isteri mangsa, Suzila Yahya, 36, serta anak mereka, Rania Afina,8, dan beberapa rakan ke sungai berkenaan bagi menguji dua jet ski baru dibeli mangsa, petang semalam.

“Boboi adalah satu-satunya cucu lelaki kami dan dia sangat teruja selepas ayahnya (Mohd Zamizi) beli jet ski itu, malah Suzila sempat merakam video mereka turun ke sungai sebelum kejadian itu,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Mohd Zamizi dan anaknya dikhuatiri lemas selepas mereka hilang ketika mencuba jet ski di sungai berkenaan dalam kejadian jam 4.30 petang semalam.

Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tawang, Datuk Hassan Mohamood turut meninjau ke lokasi dan bertemu keluarga mangsa, malam tadi.

Sementara itu, Yahya berkata, Mohd Zamizi dan Boboi yang menaiki jet ski berwarna kuning itu tidak kembali selepas 20 minit menaiki jet ski itu.

“Kami tunggu hampir 20 minit, namun Mohd Zamizi dan Boboi tidak muncul, jadi saya cuba menghubungi telefonnya namun tidak berjawab.

“Bimbang dengan keselamatan mereka, saya meminta rakan mereka mencari dengan satu lagi jet ski dan dimaklumkan mereka menemui jet ski itu saja tanpa menantu dan cucu,” katanya.

Yahya berkata, mengesyaki dua beranak itu lemas, mereka kemudian menghubungi pihak bomba untuk bantuan mencari dan menyelamat (SAR).

Beliau berkata, menantunya membuka gerai makan di Pantai Irama dan meminati sukan jet ski, malah pernah mempunyai dua jet ski sebelum membeli dua lagi jet ski baharu untuk diuji di sungai berkenaan.

“Menantu pandai berenang dan suka aktiviti air, tetapi saya tidak sangka kejadian ini menimpa keluarga kami,” katanya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Penolong Penguasa Bomba, Yus Heary Mahmud berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu pada jam 6.01 petang semalam.

Katanya, 11 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Bachok serta empat Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Kota Bharu ditugaskan dalam operasi SAR.

“Dalam operasi semalam, selipar dipakai mangsa ditemui berhampiran jet ski yang dijumpai rakan mangsa, jadi operasi SAR tertumpu pada lokasi itu.

“Kira-kira jam 9.04 pagi tadi, mangsa pertama iaitu anak mangsa dijumpai dalam keadaan terapung,” katanya.

Beliau berkata, SAR diteruskan bagi mencari Mohd Zamizi di lokasi mayat anaknya dijumpai dengan kedalaman sungai dianggarkan 15 meter.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top