ORA 5 HEV, HAVAL H7 Hi4 PHEV serlah visi GWM bentuk mobiliti masa depan

ORA 5 HEV, HAVAL H7 Hi4 PHEV serlah visi GWM bentuk mobiliti masa depan

KUALA LUMPUR: Landskap automotif negara terus berkembang seiring perubahan gaya hidup pengguna, dan GWM Malaysia tampil memanfaatkan momentum ini dengan memperkenalkan hala tuju baharu bagi portfolio ORA dan HAVAL di Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) 2026.

Berteraskan tema “For Every User, For Every Journey”, jenama automotif global itu bukan sekadar mempamerkan model baharu, malah mengetengahkan pendekatan menyeluruh terhadap mobiliti masa depan yang lebih fleksibel, pintar dan bersesuaian dengan keperluan rakyat Malaysia.

Tumpuan utama pastinya terarah kepada pratonton dua model terbaharu iaitu ORA 5 HEV dan HAVAL H7 Hi4 PHEV, yang mencerminkan evolusi signifikan dalam strategi elektrifikasi GWM.

Menurut Pengarah Urusan Hal Ehwal Korporat GWM Malaysia, Cui Anqi, pengguna kini semakin selektif dalam memilih kenderaan berdasarkan gaya hidup dan keutamaan peribadi.

“ORA 5 HEV dan HAVAL H7 Hi4 PHEV mencerminkan perubahan ini, sekali gus memperkukuh peranan setiap jenama dalam ekosistem GWM serta pendekatan kami terhadap mobiliti berelektrifikasi,” katanya.

Gaya hidup bandar, kini lebih pintar

ORA 5 HEV, HAVAL H7 Hi4 PHEV serlah visi GWM bentuk mobiliti masa depan

ORA 5 HEV tampil sebagai crossover kompak yang direka khusus untuk mobiliti bandar moden. Dilengkapi sistem hibrid pintar Hi2, model ini menggabungkan kecekapan bahan api dan prestasi dalam satu pakej seimbang.

Dengan kuasa 223 PS dan tork 476 Nm, ia mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 7.7 saat, sambil mencatat penggunaan bahan api serendah 4.4L/100 km.

Lebih menarik, model ini turut menerima pengiktirafan “Design of the Year” di London Design Awards 2025 serta mencatat rekod dunia penggunaan bahan api terendah bagi SUV hibrid pengeluaran.

Reka bentuknya yang unik, termasuk lampu hadapan berinspirasikan titisan air dan rim aerodinamik berbentuk kelopak bunga, menjadikan ORA 5 HEV bukan sekadar kenderaan, tetapi refleksi gaya hidup moden.

SUV lasak, jiwa elektrik

Dalam masa sama, HAVAL H7 Hi4 PHEV pula menyasarkan pengguna yang mahukan keseimbangan antara prestasi, keupayaan dan elektrifikasi.

Dikuasakan teknologi hibrid pintar Hi4, SUV off-road urban ini menawarkan kuasa 370 PS dan tork 750 Nm, dengan pecutan 0 hingga 100 km/j dalam hanya 6.2 saat.

Ia juga mampu bergerak sehingga 150 km dalam mod elektrik sepenuhnya serta jarak keseluruhan melebihi 1,000 km, menjadikannya sesuai untuk kegunaan harian dan pengembaraan jarak jauh.

Dari segi rekaan, pendekatan ‘boxy SUV’ yang berani dipadankan dengan elemen premium, manakala keupayaan off-road seperti kedalaman redah air 580 mm, sudut pendekatan 25 darjah sertasistem kunci pembeza elektronik menambah kredibiliti sebagai SUV serba boleh.

Ketua Pegawai Operasi GWM Malaysia, Roslan Abdullah, berkata kedua-dua model ini melambangkan arah masa depan jenama itu di Malaysia.

“ORA mewakili mobiliti gaya hidup yang terhubung, manakala HAVAL membawa SUV ke tahap baharu dengan elektrifikasi dan kepelbagaian fungsi,” katanya.

Ekosistem mobiliti untuk semua

Selain dua model ini, GWM turut mempamerkan barisan lengkap termasuk HAVAL H6 HEV, WEY G9 Hi4 PHEV, TANK 300 HEV, TANK 500 HEV serta ORA GOOD CAT EV.

Pendekatan ini menggambarkan usaha GWM membina ekosistem mobiliti menyeluruh yang merangkumi pelbagai segmen daripada kegunaan bandar hingga ke pengembaraan ekstrem.

Pengunjung KLIMS 2026 juga berpeluang menikmati pelbagai aktiviti interaktif seperti pandu uji, pameran teknologi, permainan interaktif dan laluan TANK Obstacle Ride bagi merasai sendiri keupayaan siri GWM TANK yang berlangsung dari 12-14, 17 dan 19-21 Jun 2026.

Pameran GWM di KLIMS 2026 yang berlangsung di MITEC, Kuala Lumpur ini dibuka kepada orang ramai hingga 21 Jun 2026.

Ia bukan sekadar platform memperkenalkan produk, tetapi menjadi gambaran jelas bagaimana masa depan mobiliti bakal dibentuk lebih pintar, fleksibel dan relevan dengan keperluan harian pengguna.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top