Boeing sahkan China beli 200 pesawat mungkin tambah 750 lagi

Boeing sahkan China beli 200 pesawat mungkin tambah 750 lagi

New York: Gergasi aeroangkasa Boeing mengesahkan China komited untuk membeli 200 pesawat semasa lawatan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump ke Beijing.

Perjanjian itu dilaporkan berpotensi berkembang dengan tambahan tempahan sehingga 750 pesawat lagi.

Boeing berkata, mereka berjaya mencapai matlamat utama untuk membuka semula pasaran China kepada tempahan pesawat syarikat itu.

Syarikat itu berkata, komitmen awal membabitkan 200 pesawat dan menjangka lebih banyak komitmen akan menyusul selepas itu.

Bagaimanapun, Boeing tidak menyatakan model pesawat yang terbabit dalam rundingan berkenaan.

Apabila ditanya, Boeing enggan, mengulas lanjut mengenai butiran pesawat yang termasuk dalam perjanjian itu.

Dalam pada itu, syarikat itu turut berterima kasih kepada pentadbiran Trump kerana menjayakan pencapaian berkenaan.

“Kami berharap dapat terus memenuhi permintaan pesawat dari China,” katanya.

Dalam unjuran 20 tahun, Boeing menganggarkan 44,000 pesawat akan dibina di seluruh dunia menjelang 2044.

Anggaran itu bagi menggantikan kira-kira 21,000 pesawat sedia ada dan memenuhi peningkatan permintaan.

China, Asia Selatan dan Asia Tenggara dijangka menyumbang kira-kira separuh daripada permintaan itu.

China sebelum ini membuat tempahan terakhir daripada Boeing pada 2017 semasa lawatan Trump ke Beijing.

Ketika itu, China memesan 300 pesawat bernilai AS$37 bilion (kira-kira RM146.132 bilion).

Terdahulu, Boeing, pengeksport terbesar AS dari segi nilai dolar, terjejas oleh perang tarif yang dilancarkan ketika Trump kembali ke Rumah Putih pada Januari 2025.

Beijing bertindak balas dengan melarang syarikat China daripada membuat tempahan pesawat Boeing atau menerima pesawat yang sudah ditempah.

Dua ekonomi terbesar dunia itu mencapai gencatan perang dagang lewat tahun lalu, membolehkan Boeing menyambung semula aktiviti biasa dengan pelanggan China.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top