Curi tengkorak berusia hampir 800 tahun, lelaki ditahan

Curi tengkorak berusia hampir 800 tahun, lelaki ditahan

Czech Republic: Polis Czech menemui kembali tengkorak seorang tokoh suci agama Kristian (santo) dari abad ke-13 beberapa hari selepas ia dicuri dari sebuah gereja di utara negara itu.

Polis berkata, mereka menahan seorang suspek yang mengaku mengambil tengkorak St Zdislava of Lemberk dari tempat simpanan kaca di basilika St Lawrence dan St Zdislava di bandar Jablonne v Podjestedi pada 12 Mei lalu.

Ketua polis tempatan, Petr Rajt berkata, suspek lelaki yang berusia 35 tahun itu membantah tengkorak berkenaan dipamerkan dan bercadang menyalutnya dengan konkrit sebelum membuangnya ke dalam sungai.

“Kami tahu dia mahu menenggelamkannya di sungai hari ini sebagai cara mengucapkan selamat tinggal.

“Jika kami gagal menahan lelaki itu semalam, tengkorak itu mungkin tidak akan ditemui lagi.

“Lelaki itu sudah menyalut tengkorak berkenaan dengan konkrit sehingga menyebabkan pakar berdepan tugas sukar untuk memulihkannya,” katanya.

St Zdislava of Lemberk yang dilahirkan sekitar tahun 1220 dan meninggal dunia kira-kira 30 tahun kemudian adalah seorang bangsawan wanita yang dikenali kerana kerja amalnya.

Beliau diisytiharkan santo oleh Pope John Paul II pada 1995.

Dalam pada itu, Rajt berkata, lelaki itu ditahan di bandar Mlada Boleslav di timur laut Prague pada 14 Mei hasil kerja polis yang teliti dan sedikit nasib baik.

Jelasnya, pencuri itu mencuri tengkorak berkenaan sejurus sebelum upacara ibadat di gereja pada petang 12 Mei ketika sistem penggera di gereja dimatikan dengan memecahkan tempat simpanan kaca sebelum melarikan tengkorak itu.

“Dia berdoa kepada Tuhan supaya dia bersendirian di gereja dan itulah yang berlaku,” katanya.

Sementara itu, detektif tempatan, Jan Ujka berkata, lelaki itu mengaku bersalah dan boleh berdepan hukuman penjara sehingga lapan tahun jika disabitkan kesalahan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top