London: Bola rasmi Piala Dunia keluaran FIFA yang dijual sehingga £130 (RM696) dihasilkan oleh pekerja yang menerima bayaran serendah £26 (RM156) seminggu.
Badan induk bola sepak dunia itu meraih jutaan keuntungan daripada bola Adidas Trionda, namun pekerja pengeluaran di Pakistan bergelut untuk menyara keluarga.
Aktivis menggesa supaya pekerja dibayar gaji mencukupi bagi membolehkan mereka hidup dengan bermaruah.
Bola perlawanan Trionda adalah bola rasmi kejohanan paling mahal pernah dihasilkan setakat ini, sekali gus menjana keuntungan besar kepada syarikat gergasi sukan Adidas dan pegawai bola sepak.
Namun bola itu dihiasi warna bendera negara tuan rumah Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico dihasilkan pada kos yang jauh lebih rendah.
Pengeluar Forward Group membayar sebahagian pekerja barisan pengeluaran di Sialkot, wilayah Punjab, gaji minimum 40,000 rupee Pakistan sebulan, bersamaan £106 (RM567).
Aktivis Anna Bryher dari kumpulan tekanan UK, Labour Behind the Label berkata: “Hakikat bola ini dijual lebih £100 sedangkan anak-anak pekerja yang menghasilkannya tidak mampu membelinya menunjukkan kegagalan jelas dalam aspek tanggungjawab.
“Adidas dan FIFA perlu bertanggungjawab terhadap keseluruhan rantaian bekalan mereka dan memastikan semua pekerja yang menghasilkan bola menerima gaji yang membolehkan mereka hidup dengan bermaruah.
“Apa makna ‘fair play’ jika simbol paling ikonik sukan ini dibina atas eksploitasi?”
Forward Group yang berpangkalan di Pakistan memperoleh kontrak bersama Adidas untuk menghasilkan kira-kira 10 juta bola Trionda menjelang kejohanan bulan depan.
Harga bola itu bermula sekitar £13 (RM78) bagi versi mini sehingga £130 (RM780) untuk bola perlawanan profesional.
Adidas menegaskan bola berkenaan dihasilkan dalam keadaan kerja yang “adil dan selamat, termasuk pembayaran gaji yang adil”.
Namun ramai pekerja pengeluaran terus bergelut menyara keluarga selepas perang Iran mencetuskan kenaikan harga bahan api yang meningkatkan kadar inflasi Pakistan kepada 10.9 peratus.
Isu itu didedahkan ketika pegawai FIFA mempromosikan pengurusan beretika sukan “Beautiful Game”, dengan bintang seperti kapten England Harry Kane bersedia menghadapi kejohanan terbesar dunia.
Bandar Sialkot sejak sekian lama dikaitkan dengan dakwaan buruh paksa selepas menjadi pusat pembuatan global yang menghasilkan 70 peratus bola sepak dunia.
Syarikat sebelum ini berdepan skandal termasuk dakwaan penggunaan buruh kanak-kanak dan kerja disubkontrakkan kepada pihak tidak rasmi dengan gaji serta keadaan kerja yang teruk.
Forward kini muncul pengeluar bola terbesar di kawasan itu selepas memperoleh beberapa kontrak bernilai tinggi dan mendakwa telah memperbaiki amalan buruh.
Adidas memaklumkan pihaknya memantau serta memeriksa kilang besar syarikat itu yang dipercayai menggaji kira-kira 20,000 pekerja, dengan Forward Group adalah rakan lama mereka.
Namun gaji pekerja barisan pengeluaran masih jauh lebih rendah berbanding pendapatan di negara maju.
Kesatuan pekerja, Asif Khan dari Pakistan Workers Federation berkata: “Sebelum ini terdapat ramai pekerja kanak-kanak dan wanita yang dieksploitasi.
“Keadaan kini bertambah baik, tetapi kebanyakan buruh kanak-kanak dan pekerja bergaji rendah berpindah ke daerah Narowal.
“Sejak Adidas mengancam untuk menghentikan operasi di Sialkot dan kehadiran Nike dalam pembuatan bola berkurangan, syarikat menjadi lebih berhati-hati.
“Pekerja baharu biasanya bermula dengan sekitar 40,000 rupee Pakistan £106 (RM636)) sebulan, manakala pekerja lama memperoleh antara 45,000 rupee (RM714) hingga 50,000 rupee (RM792).”
© New Straits Times Press (M) Bhd




