Wira sebenar, semoga anggota bomba terus cekal berbakti

Wira sebenar, semoga anggota bomba terus cekal berbakti

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini merakamkan penghargaan tertinggi kepada seluruh anggota bomba atas peranan besar mereka dalam meminimumkan kerugian negara menerusi kepantasan dan kecekapan mengendalikan kecemasan.

Beliau berkata, jasa serta pengorbanan anggota bomba bukan sekadar menyelamatkan nyawa dan harta benda, malah menjadi tunjang penting dalam menyokong kelangsungan pembangunan serta kesejahteraan negara.

“Moga seluruh anggota bomba dan penyelamat sentiasa dilindungi, dikurniakan kekuatan dan ketabahan dalam memikul amanah, serta terus diberi kecekalan dalam berbakti tanpa jemu,” kata beliau menerusi hantaran di Facebook hari ini, bersempena dengan sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia.

Sementara itu, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga JBPM atas dedikasi dan komitmen tinggi mereka dalam berkhidmat kepada masyarakat tanpa mengira situasi.

Menerusi hantaran di Facebook, beliau menyifatkan anggota bomba sebagai “wira sebenar” yang sentiasa bersedia menghulurkan bantuan dalam pelbagai keadaan kecemasan, termasuk tugas menyelamat yang unik.

“Bila berlaku kebakaran, kita panggil bomba. Bila ada kucing tersangkut di pokok, bomba datang menyelamat. Bila tersangkut di mangkuk tandas, pun bomba datang membantu.

“Bila berlaku kemalangan, bencana, banjir atau apa jua kecemasan, mereka sentiasa hadir tanpa banyak soal. Itulah wira sebenar, sentiasa bersedia dalam apa jua keadaan,” katanya.

Zambry turut merakamkan ucapan Selamat Hari Bomba serta menghargai keberanian dan khidmat bakti yang dicurahkan oleh pasukan itu tanpa mengenal erti lelah.

Hari Anggota Bomba Sedunia disambut pada 4 Mei setiap tahun, bagi menghargai jasa dan komitmen pasukan penyelamat itu di seluruh dunia.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top