Bomba ambil masa 20 minit selamatkan pemandu lori tersepit

Bomba ambil masa 20 minit selamatkan pemandu lori tersepit

am@hmetro.com.my

Maran: Lelaki cedera dalam kemalangan tiga kenderaan membabitkan dua lori dan sebuah bas persiaran di Kilometer 182.9 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) Satu, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Maran, Superintendan Wong Kim Wai, berkata kemalangan jam 5.40 pagi berlaku ketika tiga kenderaan terbabit dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur ke Kuantan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku setelah bas persiaran tanpa penumpang merempuh bahagian belakang sebuah lori.

“Akibat rempuhan itu bas persiaran terbabas ke kiri jalan, manakala sebuah lori dari arah sama merempuh bahagian belakang bas.

“Kemalangan menyebabkan pemandu lori berusia 61 tahun yang merempuh bas tersepit dalam kenderaan dipandunya,” katanya dalam kenyataan.

Susulan kejadian itu, enam anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Maran bergegas ke lokasi kejadian.

Bomba mengambil masa kira-kira 20 minit untuk membawa keluar mangsa yang tersepit.

Wong berkata, pemandu lori yang cedera di leher dan perut dikejarkan ke Hospital Sultan Ahmad Shah, di Temerloh, untuk rawatan lanjut.

Menurutnya, pemandu bas persiaran dan sebuah lagi lori tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kes disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59) kerana memandu secara cuai dan menyebabkan kemalangan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top