Bomba bantu angkat lelaki 200 kg

Bomba bantu angkat lelaki 200 kg

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Lelaki berumur 46 tahun seberat 200 kilogram dibawa turun dari kediamannya menggunakan peralatan khas oleh sepasukan bomba selepas mengalami sesak nafas.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Skudai, Saiful Bahri Safar berkata, 10 anggota serta tiga jentera bomba digerakkan bagi membantu membawa turun mangsa di tingkat dua di Pangsapuri Taman Mutiara Rini, di sini.

“Pihak kami mendapat panggilan berhubung kejadian pada jam 10.49 malam tadi. Setibanya di lokasi, anggota mendapati terdapat seorang lelaki tempatan yang obesiti seberat 200 kg di premis kediaman di tingkat dua.

“Mangsa dibawa turun dengan menggunakan cadar dan permaidani bagi mengalas tubuh mangsa.

“Mangsa berjaya dibawa turun sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru untuk menerima rawatan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Operasi kemudian ditamatkan pada pukul 1.21 pagi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top