am@hmetro.com.my
Sungai Besar: Seorang wanita seberat kira-kira 100 kilogram (kg) terpaksa dibantu anggota bomba selepas pengsan di rumahnya di Taman Padu Permai, di sini, semalam.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pihaknya menerima panggilan pada 7.50 pagi.
Beliau berkata, sepasukan lima anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Besar dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Kami dihubungi pembantu perubatan yang hadir bersama ambulans berhubung kejadian. Sebaik tiba, komander operasi melaporkan mangsa berusia 57 tahun dengan anggaran berat 100 kg.
“Anggota bertugas bertindak mengangkat mangsa menggunakan pengusung dan diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) untuk tindakan lanjut,” katanya.
Ashrul Riezal berkata, operasi ditamatkan sepenuhnya jam 8.06 pagi.
© New Straits Times Press (M) Bhd
