UK, Australia, Kanada sifatkan keputusan Israel tidak teruskan siasatan serangan WCK "memalukan"

London: United Kingdom (UK), Australia dan Kanada pada Jumaat menyifatkan keputusan Israel untuk tidak meneruskan siasatan jenayah berhubung serangan maut pada 2024 ke atas konvoi World Central Kitchen (WCK) di Gaza sebagai “memalukan,” lapor Anadolu Ajansi (AA).

Dalam satu kenyataan bersama, kementerian luar ketiga-tiga negara itu menyatakan mereka menghabiskan masa lebih dua tahun mendesak Israel supaya memeriksa kes itu dengan pantas dan menyeluruh serta menuntut mereka yang bertanggungjawab dipertanggungjawabkan.

“Pengumuman oleh Pasukan Pertahanan Israel (IDF) pada 19 Ogos 2026 bahawa ia tidak akan meneruskan siasatan jenayah terhadap serangan ini, tanpa penjelasan lanjut, adalah memalukan,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu pengumuman pada Hari Kemanusiaan Sedunia, ketika dunia memberi penghormatan kepada keberanian dan pengorbanan pekerja kemanusiaan, adalah “sangat melampau.”

“Keputusan ini disifatkan terlalu sedikit dan sudah terlambat. Mangsa kejadian ini dan keluarga mereka berhak mendapat keadilan serta kebertanggungjawaban, dan kami akan terus menuntut jawapan bagi pihak mereka.”

Negara-negara berkenaan menggesa Israel mematuhi kewajipannya di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan menyatakan ia mesti berbuat lebih banyak untuk memastikan pekerja kemanusiaan dapat menjalankan tugas mereka dengan selamat.

“Serangan ke atas World Central Kitchen adalah satu daripada insiden yang tidak terhitung jumlahnya di Gaza yang menyaksikan tiada sebarang kebertanggungjawaban,” menurut kenyataan itu sambil mengimbas kembali bahawa Gaza kekal sebagai tempat paling berbahaya untuk menyalurkan bantuan, dengan 186 pekerja kemanusiaan terbunuh pada 2025.

Sementara itu, Menteri UK bagi Timur Tengah Stephen Doughty pada Khamis berkata, UK membangkitkan perkara berkenaan dengan pihak berkuasa Israel dan “akan terus mendesak untuk mendapatkan jawapan segera.”

Tentera Israel pada Rabu berkata, ia akan menyiasat dua kes yang disyaki jenayah perang di Semenanjung Gaza sambil menutup tiga lagi siasatan berprofil tinggi, termasuk serangan WCK 2024 yang mengorbankan tujuh pekerja bantuan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top