am@hmetro.com.my
Georgetown: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang sudah mengenal pasti sebanyak 31 lokasi berisiko berlaku tanah runtuh di negeri ini.
Pengarah JBPM Pulau Pinang Mohamad Shoki Hamzah berkata, kebanyakan lokasi tanah runtuh itu dalam daerah Timur Laut dan Barat Daya.
“Antaranya di Paya Terubong, Tanjung Bungah dan Batu Ferringhi yang mana ia adalah pengalaman kita sebelum ini menangani kes di kawasan berkenaan.
“Kita juga turut kenal pasti sebanyak 51 hotspot banjir di lima daerah negeri ini.
“Sebanyak 18 daripadanya ialah di daerah Seberang Perai Tengah, daerah Barat Daya (13), Timur Laut (10) dan masing-masing enam di Seberang Perai Utara dan Seberang Perai Selatan,” katanya.
Mohamad Shoki ditemui ketika lawatan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow bersama agensi dan jabatan berkaitan ke Taman Seri Rambai, Paya Terubong hari ini bagi meninjau situasi semasa selepas kejadian tanah runtuh yang mengorbankan seorang lelaki warga emas.
Susulan itu, Mohamad Shoki berkata, cuti sebanyak 20 peratus pegawai dan anggota JBPM Pulau Pinang dibekukan sepanjang Monsun Timur Laut (MTL).
Prosedur itu adalah langkah biasa bagi jabatan berkenaan setiap kali menghadapi monsun itu.
“Kita nasihat masyarakat yang tinggal berhampiran lokasi berisiko tanah runtuh dan banjir perlu peka dengan keadaan sekeliling.
“Sekiranya terdapat tanda awal akan berlaku bencana, mereka diminta lapor kepada pihak berwajib untuk tindakan segera supaya tidak berlaku kes yang serius sehingga mengancam nyawa,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




