Universiti, bandar perlu bekerjasama tangani perubahan iklim – Sultan Nazrin

Universiti, bandar perlu bekerjasama tangani perubahan iklim – Sultan Nazrin

Kuala Lumpur: Universiti perlu memperkukuh kerjasama dengan institusi, bandar dan negara bagi memanfaatkan ilmu pengetahuan dalam menangani cabaran bersama, termasuk perubahan iklim, titah Sultan Perak Sultan Nazrin Shah.

Baginda bertitah universiti perlu mengintegrasikan pelbagai disiplin ilmu dan perspektif memandangkan kesan perubahan iklim serta transformasi teknologi melangkaui sempadan negara.

“Jika cabaran yang dihadapi adalah cabaran bersama, maka sudah tentu ilmu pengetahuan juga perlu dikongsi bersama. Justeru, universiti kita perlu meluaskan jangkauan dengan menjalin kerjasama merentas institusi, bandar dan negara.

“Universiti perlu menjadi wadah yang menghimpunkan pelbagai disiplin ilmu untuk saling melengkapi, meraikan kepelbagaian perspektif dan mengembleng tenaga demi kepentingan masyarakat global,” titah baginda ketika melancarkan buku Univer-Cities Volume V bertajuk Combatting Existential Climate Change di Universiti Malaya (UM) di sini hari ini.

Sultan Nazrin bertitah buku itu meneliti pelbagai isu, daripada air sehingga peranan sektor perniagaan, dengan menghimpunkan pelbagai perspektif mengenai cabaran perubahan iklim.

Baginda bertitah bandar menawarkan pelbagai persoalan dan cabaran yang perlu ditangani universiti, sekali gus memberikan hala tuju dan nilai praktikal kepada kegiatan akademik.

“Apabila hubungan ini kukuh, ilmu pengetahuan tidak lagi terbatas dalam lingkungan universiti, sebaliknya hasil penyelidikan dapat diaplikasikan dalam amalan dan dimanfaatkan oleh masyarakat.

“Idea menjadi inovasi dan ilmu pengetahuan menjadi kekuatan demi kebaikan bersama,” titah baginda.

Sultan Nazrin turut menyambut baik perkembangan berterusan gagasan Univer-City di UM dan Kuala Lumpur, yang disifatkan tepat pada masanya ketika universiti itu meraikan ulang tahun ke-120 penubuhan serta sumbangannya dalam bidang pendidikan, ilmu pengetahuan dan pembangunan serantau.

Baginda bertitah universiti berperanan memelihara dan mewariskan ilmu pengetahuan, di samping terus memperbaharuinya bagi mendepani cabaran semasa, termasuk perkembangan pesat teknologi dan perubahan geopolitik.

Baginda bertitah masyarakat juga perlu menilai sejauh mana kebijaksanaan kolektif mereka mampu memastikan kemajuan sains dan teknologi dimanfaatkan secara beretika.

“Kita sememangnya memerlukan sains dan inovasi, namun kita juga perlu memiliki kebijaksanaan, daya imaginasi, semangat dialog, belas ihsan serta keupayaan melihat melangkaui kepentingan jangka pendek untuk menilai persoalan moral asas yang timbul dalam menghadapi cabaran masa kini.

“Semua nilai ini merupakan teras kepada peranan universiti sebagai sebuah institusi, sejak dahulu hingga kini,” titah baginda.

Sultan Nazrin berharap penerbitan itu dapat mendorong universiti, bandar dan pemimpin berfikir secara lebih berani tentang masa depan, selain memastikan ilmu pengetahuan dimanfaatkan demi kesejahteraan masyarakat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top