Kuala Lumpur: Pembukaan tawaran kemasukan melalui saluran terbuka di universiti awam sama sekali tidak menjejaskan atau mengecilkan kuota yang diperuntukkan melalui Unit Pusat Universiti (UPU), kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Beliau berkata, penawaran saluran terbuka hanya membabitkan peratusan kecil dan terhad kepada kursus tertentu sekiranya masih mempunyai kekosongan tempat, bukannya bertujuan semata-mata untuk menjana pendapatan institusi.
“Saya ingin memaklumkan kepada Dewan ini bahawa isu tersebut tidak timbul sama sekali kerana jumlah kuota yang telah ditetapkan kita kekalkan,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 (Belanjawan 2027) peringkat dasar bagi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di Dewan Rakyat, hari ini.
Mengenai perbezaan kadar yuran, Zambry mengakui perkara berkenaan sememangnya berlaku terutamanya bagi kursus-kursus kritikal.
Bagaimanapun, beliau berkata, kerajaan sentiasa mengambil inisiatif menambah peruntukan dan kuota bagi kursus-kursus kritikal seperti perakaunan, kejuruteraan dan kecerdasan buatan (AI) bagi menampung bilangan pelajar berkelayakan yang tinggi.
Zambry turut menegaskan bahawa kemiskinan atau kekangan kewangan tidak wajar dijadikan alasan untuk mana-mana pelajar menolak tawaran kemasukan ke universiti awam kerana pelbagai saluran bantuan telah disediakan.
“Kerajaan menyediakan pelbagai sokongan pembiayaan merangkumi yuran pengajian dan elaun sara hidup termasuk Bantuan Kewangan Pelajar Kolej Komuniti, Bantuan Kewangan Asasi serta Dermasiswa B40 TVET,” katanya.
Sementara itu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing ketika menggulung perbahasan bagi kementeriannya memaklumkan Malaysia merekodkan 32.26 juta ketibaan pelawat antarabangsa bagi tempoh Januari hingga September tahun ini, meningkat 2.4 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.
Beliau berkata, kerajaan terus mempergiat usaha promosi pelancongan menggunakan peruntukan sedia ada bagi mengekalkan momentum pertumbuhan industri itu, khususnya dalam menghadapi cabaran geopolitik global yang menjejaskan perancangan perjalanan pelawat.
Tiong berkata, dalam meningkatkan keterhubungan antarabangsa, Tourism Malaysia bekerjasama dengan 24 syarikat penerbangan, terdiri daripada tiga syarikat tempatan dan 21 syarikat antarabangsa bagi menyokong 46 laluan penerbangan antarabangsa dari Januari hingga Oktober tahun ini.
“Daripada jumlah itu, 35 merupakan laluan baharu manakala 11 lagi laluan sedia ada yang diteruskan, termasuk laluan Xi’an-Kuala Lumpur, Guiyang-Kuala Lumpur, Shanghai-Tawau, Xiamen-Kota Kinabalu, Busan-Kuala Lumpur dan Frankfurt-Kuala Lumpur, selain penerbangan sewa khas dari Warsaw, Poland dan Almaty, Kazakhstan yang dijadualkan pada Disember ini,” katanya.
Beliau berkata, segmen acara perniagaan (MICE) turut menunjukkan prestasi memberangsangkan apabila impak ekonominya meningkat 113.7 peratus kepada RM1.24 bilion pada suku kedua 2026, dengan jumlah acara meningkat 81.2 peratus kepada 125 acara dan kehadiran delegasi antarabangsa bertambah 105.2 peratus kepada 83,596 orang.
Bagi memperkukuh pertumbuhan segmen berkenaan, Tiong berkata RM10 juta diperuntukkan kepada Biro Konvenysen dan Pameran Malaysia (MyCEB) sebagai insentif menarik lebih banyak acara MICE dan sukan antarabangsa berimpak tinggi, selain pelanjutan insentif cukai bagi penganjuran acara bertaraf antarabangsa untuk tempoh 2028 hingga 2030.
Dalam pada itu, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Seri Dr Ramli Mohd Nor menzahirkan penghargaan kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) atas kerjasama dalam penganjuran Majlis Sewang yang menghimpunkan 18 suku kaum Orang Asli pada 24 Okt lalu.
Beliau berkata, majlis berkenaan berpotensi menarik pelancong antarabangsa dan disasarkan untuk diadakan di peringkat nasional pada tahun depan.
Persidangan Dewan Rakyat bersambung esok.
© New Straits Times Press (M) Bhd




