NSTP raih empat anugerah ADI 2026

NSTP raih empat anugerah ADI 2026

am@hmetro.com.my

Putrajaya: The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP) merangkul empat pengiktirafan sempena Anugerah Media Akademi Dalam Industri (ADI) 2026 yang berlangsung malam ini.

Tiga daripada empat anugerah itu diterima melalui dua wakil New Straits Times (NST), manakala satu lagi menerusi Berita Harian (BH).

Iylia Marsya Iskandar dari NST meraih tempat kedua kategori media sosial (video pendek), sekali gus membawa pulang RM7,000 menerusi karya bertajuk ‘Get A Job. Get Paid. Get Certified. At The Same Time With ADI’.

Iylia turut menerima hadiah sagu hati bernilai RM1,000 bagi kategori media cetak dan portal berita menerusi artikel bertajuk ‘ADI Helps Bridge Malaysia Skills Gap’.

Seorang lagi wartawan NST, Nurul Amalia Mohd Azmi meraih tempat ketiga kategori media sosial (video pendek) dengan membawa pulang RM5,000 menerusi karya bertajuk ‘Want To Move Up? Your Job Can Be Your Classroom’.

Sementara itu, Pengarang Berita BH, Mohd Nazmi Yaakub menerima hadiah sagu hati RM1,000 bagi kategori media cetak dan portal berita menerusi artikel bertajuk ‘Reformasi Kerenah Birokrasi Lonjak Produktiviti Negara, Bela Nasib Rakyat’.

Hadiah disampaikan Timbalan Ketua Setiausaha Perdagangan dan Industri (Pelaburan dan Pengurusan), Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Jaya Singam Rajoo.

Turut hadir, Presiden Institut Akhbar Malaysia (MPI), Datuk Yong Soo Heong.

Anugerah Media ADI 2026 dianjurkan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dengan kerjasama MPI bagi mengiktiraf peranan media dalam mengetengahkan isu pembangunan kemahiran, produktiviti dan masa depan tenaga kerja negara.

Pengerusi MPC, Datuk Kamaruzzaman Johari berkata, 49 penyertaan diterima bagi tiga kategori dipertandingkan.

Beliau berkata, 10 penyertaan diterima bagi kategori televisyen, radio dan portal radio, manakala 29 penyertaan bagi kategori media cetak dan portal berita serta 10 lagi bagi kategori media sosial dan video pendek.

Katanya, setiap penyertaan mengetengahkan perspektif bernilai mengenai pekerjaan dan masa depan tenaga kerja negara.

Beliau berharap kerjasama dengan media tidak terhenti selepas penganjuran majlis itu, sebaliknya diteruskan menerusi pelaporan yang meneliti impak pelaksanaan ADI serta pengalaman sebenar pekerja.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top