PRN Melaka: Lupakan 'alergik' biru dan hijau, bina landskap politik baharu

PRN Melaka: Lupakan 'alergik' biru dan hijau, bina landskap politik baharu

am@hmetro.com.my

Masjid Tanah: Barisan Nasional (BN) mahu jentera partinya dan Perikatan Nasional (PN) melupakan permusuhan politik lalu bagi memastikan persefahaman baharu antara kedua-dua gabungan itu mampu diterjemahkan kepada kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 14 November ini.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerjasama itu mencerminkan landskap politik baharu di Melaka yang menuntut kedua-dua pihak mengetepikan perbezaan terdahulu demi mencapai matlamat bersama.

Beliau berkata, walaupun BN dan PN sebelum ini berdepan hubungan politik yang tidak mesra, kedua-dua pihak perlu menerima realiti baharu itu dengan membina kerjasama sebagai rakan strategik.

“Oleh kerana ini adalah rakan kongsi baharu, rakan strategik kita… walaupun dulu kita alergik dengan hijau dan mereka alergik dengan biru, namun kini ia berubah dan menjadi satu landskap politik baharu di Melaka.

“Kita lupakan permasalahan yang lalu. Kita hadapi 31 Oktober ini sebagai satu pasukan baharu di negeri Melaka ini,” katanya ketika berucap melancarkan Jentera BN Parlimen Masjid Tanah, di Villa d’ Acqua Kampung Pulau, di sini malam tadi.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, persefahaman itu perlu disusuli komitmen jentera kedua-dua pihak untuk bergerak secara tersusun, sekali gus memastikan kerjasama berkenaan memberikan kelebihan dalam persaingan pilihan raya.

Sementara itu katanya, BN memberikan kebebasan kepada rakan strategiknya untuk berunding sesama parti komponen mereka bagi menentukan pembahagian kerusi di tujuh kerusi yang tidak ditandingi BN.

Pada PRN Melaka kali ini, BN bertanding di 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) merangkumi 18 kerusi ditandingi calon UMNO, dua calon MCA dan satu calon MIC.

Sementara tujuh lagi diperuntukkan kepada rakan strategik membabitkan PAS dan rakan komponen PN.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 31 Oktober sebagai hari penamaan calon, manakala pengundian awal pada 10 November dan hari pengundian pada 14 November ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top