Bomba KL bantu pindahkan wanita 200kg ke hospital

Bomba KL bantu pindahkan wanita 200kg ke hospital

PETALING JAYA: Seorang wanita yang dianggarkan seberat 200 kilogram (kg) dibantu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur keluar dari kediamannya di tingkat enam Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Pantai, Pantai Dalam, di sini, untuk dibawa ke hospital petang tadi.

Pusat Gerakan Operasi JBPM, Kuala Lumpur menerima panggilan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui talian NG999 pada pukul 4.39 petang.

Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Jumari Omar, berkata, sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pantai bersama enam anggota dihantar ke lokasi.

Menurutnya, wanita berusia lingkungan 58 tahun dengan anggaran berat kira-kira 200 kg itu mengalami masalah kesihatan dan memerlukan bantuan untuk dipindahkan ke ambulans.

“Pasukan bomba mengangkat dan memindahkan mangsa menggunakan pengusung melalui lif sebelum berjaya membawanya ke ambulans dengan selamat.

“Mangsa kemudian diserahkan kepada petugas KKM untuk dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini. – UTUSAN

Scroll to Top