am@hmetro.com.my
Georgetown: Kerja pemadaman kebakaran premis di Pengkalan Weld berhampiran Jeti Chew di sini, oleh pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), masih diteruskan 11 jam selepas kejadian itu.
Insiden kira-kira 1 pagi tadi itu membabitkan premis cat kereta, bengkel kereta, kedai kimpalan, kedai barangan lusuh dan kedai perabot yang menempatkan longgokan kayu.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM negeri, John Sagun Francis berkata, setakat ini, api pada empat premis terbabit berjaya dipadamkan.
Katanya, operasi diteruskan bagi pemadaman di kedai perabot yang mempunyai longgokan kayu bertingkat.
“Api bukan membara semula, sebenarnya longgokan kayu itu masih ada sisa api di bawahnya.
“Ia memang menjadi cabaran kepada (operasi pemadaman api) kedai atau kilang kayu dan perabot seperti ini. Ada sisa yang kita tak nampak di bawahnya, dikhuatiri (api) hidup semula.
“Kita juga mengatur gerak jengkaut bagi mengalih kayu itu untuk meneruskan kerja pemadaman,” katanya ketika meninjau lokasi, hari ini.
Mengulas lanjut, John berkata, kejadian itu turut memusnahkan empat kenderaan iaitu BMW, Mercedes Benz, Suzuki Swift dan Honda City.
Katanya, pemeriksaan lanjut mengesahkan tiada mangsa terbabit dalam kejadian itu.
“Operasi ini membabitkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lebuh Pantai, BBP Jalan Perak dan BBP Paya Terubong dengan keseluruhan kekuatan 25 anggota.
“Kita dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) iaitu seramai 143 orang.
“Punca dan nilai kerugian masih dalam siasatan. Kita akan serah kawasan ini kepada pasukan forensik dan kerja penyiasatan sedang dijalankan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
