am@hmetro.com.my
Georgetown: Buruh binaan warga Bangladesh maut selepas motosikal ditunggangi terbabas selepas terkena bongkah batu di Jalan Paya Terubong arah ke Farlim, Jumaat lalu.
Dalam kejadian itu, bongkah batu berkenaan disyaki terjatuh dari lereng bukit.
Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut Superintendan Lee Swee Sake berkata, siasatan mendapati kejadian berlaku pada jam 12.45 pagi semasa mangsa dalam perjalanan dari Bayan Lepas menghala ke Farlim.
Katanya, ketika tiba di Jalan Paya Terubong, objek disyaki batu bersaiz 0.5 meter dengan anggaran 50 kilogram (kg) tiba-tiba jatuh dari lereng bukit.
“Impak daripada kejadian itu, mangsa terjatuh di atas jalan rata manakala motosikalnya mengalami kerosakan pada bahagian hadapan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Swee Sake berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri, Zairil Khir Johari sudah menerima laporan mengenai kemalangan itu.
“Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) sudah diminta menyiasat dengan segera mengenai punca batu berkenaan terjatuh serta tahap keselamatan cerun berkenaan,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
© New Straits Times Press (M) Bhd




