mohdsyazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Jaguh powerlifting negara, Bonnie Bunyau Gustin menghadiahkan pingat pertama buat Malaysia pada Sukan Komanwel Glasgow 2026 selepas meraih gangsa dalam acara powerlifting di SEC Armadillo, Glasgow, sebentar tadi.
Bonnie hampir mencipta kejayaan mempertahankan gelaran apabila terlepas pingat emas dengan perbezaan tipis selepas melakukan angkatan 153.5 kilogram dalam kategori lightweight lelaki.
Pingat emas menjadi milik wakil England, Mark Swan yang mencatat angkatan 153.9kg, manakala atlet Nigeria, Roland Ezuruike turut merekodkan jumlah sama untuk meraih perak menerusi kiraan semula.
Kejayaan Bonnie itu sekali lagi membuktikan kehebatannya di pentas Komanwel selepas sebelum ini mencipta nama sebagai juara di Birmingham 2022.
Atlet berusia 30 tahun itu hadir ke Glasgow dengan reputasi besar selepas mengumpul pelbagai kejayaan antarabangsa termasuk pingat emas Sukan Paralimpik, namun kali ini terpaksa berpuas hati dengan kilauan gangsa.
Walaupun gagal mempertahankan kejuaraan, Bonnie tetap memastikan kontinjen Malaysia tidak pulang tangan kosong pada permulaan saingan Glasgow 2026.
Pingat berkenaan menjadi suntikan semangat buat atlet negara lain yang bakal meneruskan cabaran dalam temasya yang berlangsung sehingga 2 Ogos ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




