am@hmetro.com.my
Batu Gajah: Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim berkenan melawat Akademi Az-Zahra, pusat tahfiz wanita pertama di Pusat Koreksional Batu Gajah (PKBG) di sini, hari ini.
Keberangkatan tiba baginda disambut isteri Menteri Besar Perak, Datin Seri Aezer Zubin dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Salbiah Mohamed.
Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Syamsul Hazeman Md Salleh berkata, penubuhan akademi berkenaan adalah inisiatif bersama PKBG yang memfokus kepada
pemulihan holistik prospek wanita.
“Akademi ini menyediakan modul hafazan, tahriri dan usrah yang disusun secara sistematik bagi melahirkan prospek wanita yang berdisiplin, mahir dalam penguasaan al-Quran serta memiliki kekuatan rohani sebagai asas untuk membina kehidupan yang lebih baik selepas tamat menjalani tempoh pemulihan,” katanya.
Menurutnya, MAIPk meluluskan peruntukan RM396,660 tahun bagi melaksanakan beberapa inisiatif di PKBG, selain menaik taraf fasiliti dapur dan kantin wanita sebagai pusat latihan keusahawanan yang menepati piawaian industri.
“Prospek wanita juga mengikuti kursus latihan kulinari yang dikendalikan oleh syarikat penyedia latihan bertauliah bagi meningkatkan kompetensi mereka dalam bidang penyediaan makanan dan keusahawanan,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Komisioner Jeneral Penjara, Jabatan Penjara Malaysia, Rosoman Abu Bakar @ Che Din berkata, PKBG antara institusi koreksional penting dalam negara yang memberi penekanan kepada pemulihan penghuni menerusi pembangunan sahsiah, pendidikan, latihan kemahiran dan kerohanian bagi membantu mereka kembali ke pangkuan masyarakat.
“Jabatan Penjara Malaysia sentiasa komited sebagai peneraju perkhidmatan korektif negara dengan melaksanakan pelbagai inisiatif yang bukan sahaja menitikberatkan aspek keselamatan institusi, malah
memberi fokus kepada pembentukan akhlak, perubahan sikap dan pembangunan potensi setiap penghuni.
“Kami percaya bahawa setiap insan berhak diberikan peluang kedua untuk memperbaiki kehidupan dan kembali menyumbang kepada keluarga, masyarakat serta negara,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




