Sao Paulo: Selepas menerima sambutan hangat sebaik tiba di Brazil, Carlo Ancelotti yang juga jurulatih asing pertama Selecao dalam tempoh lebih 50 tahun kini akan memulakan tugasnya secara rasmi dengan membawa pasukan itu berdepan Ecuador dalam misi melayakkan diri ke Piala Dunia 2026.
Pengendali berusia 65 tahun itu memulakan tugasnya dengan mengendalikan sesi latihan pertama di Guayaquil, Ecuador.
Ancelotti bukan saja perlu memulihkan reputasi Brazil, malah berdepan cabaran besar khususnya dalam usaha memenangi semula hati jutaan rakyat negara itu yang menjadikan bola sepak umpama nadi utama kehidupan.
“Satu-satunya matlamat adalah untuk memenangi Piala Dunia 2026,” kata Ancelotti ketika mula-mula mengambil tugas itu.
Brazil sebelum ini dimalukan Argentina selepas dibelasah 4-1 pada Mac lalu yang menyaksikan jurulatih pasukan Dorival Junior dipecat.
Enam pasukan teratas daripada 10 pasukan akan layak secara automatik ke Piala Dunia 2026 yang akan berlangsung di Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada.
Ketika ini Brazil berada di tempat keempat, enam mata di hadapan Venezuela di tempat ketujuh dengan masing-masing berbaki empat perlawanan lagi.
Ecuador ketika ini berada di tangga kedua namun hanya dua mata di hadapan Brazil, sekali gus mereka turut memburu tiga mata penuh untuk mengukuhkan kedudukan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




