São Paulo: Pengendali skuad Brazil, Carlo Ancelotti bakal diberikan lanjutan kontrak selama empat tahun sehingga Piala Dunia 2030, kata Persekutuan Bolasepak Brazil (CBF), awal pagi tadi.
Legenda bola sepak Itali itu mengambil alih tugas sebagai jurulatih Brazil tahun lalu dan berjaya membawa juara lima kali dunia itu layak ke Piala Dunia 2026 di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico.
Pengendali berusia 66 tahun yang pernah melatih Real Madrid, AC Milan dan Chelsea FC itu telah berbulan-bulan berunding dengan CBF mengenai lanjutan kontraknya.
Presiden CBF, Samir Xaud berkata, beliau yakin lanjutan kontrak Ancelotti akan disahkan secara rasmi sebelum Piala Dunia.
Xaud ketika bercakap di persidangan FutPro Expo di Fortaleza, berkata CBF dan penasihat undang-undang Ancelotti sedang menyelesaikan beberapa aspek kontrak baharu tersebut.
Ancelotti sebelum ini beberapa kali menyatakan kesediaannya untuk terus kekal dalam jawatannya selepas Piala Dunia tahun ini.
Beliau dijadualkan mengumumkan senarai akhir pemain Brazil pada 18 Mei di Rio de Janeiro sebelum skuad itu menjalani perlawanan persahabatan terakhir menentang Panama pada 31 Mei di Stadium Maracanã.
Brazil akan berpangkalan di New Jersey sepanjang kejohanan dan berada dalam Kumpulan C bersama Maghribi, Scotland dan Haiti.
© New Straits Times Press (M) Bhd




