suharmin.yusuf@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA) mencatat prestasi memberangsangkan sepanjang 2025 dengan 538 serbuan dijalankan dengan rampasan bernilai RM1.1 bilion.
Komander Briged Tengah PGA, Senior Asisten Komisioner Hakemal Hawari berkata, pihaknya sudah melaksanakan pelbagai pendekatan strategik dalam usaha membanteras jenayah penyeludupan, khususnya di kawasan sempadan perairan Malaysia di Pantai Selangor dan Pantai Barat Johor.
“Beberapa operasi digerakkan seperti Op Taring Nyah 1 (Selangor dan Johor) bagi mencegah kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI), Op Kontraban bagi membanteras aktiviti penyeludupan barangan tanpa cukai, Op Bersepadu Khazanah membabitkan kesalahan berkaitan hidupan liar serta khazanah negara dan Op Hazard bagi jenayah berkaitan alam sekitar.
“Operasi ini turut dilaksanakan secara bersepadu bersama agensi penguat kuasa lain di peringkat inter dan intra agensi, selaras dengan pendekatan holistik menangani jenayah rentas sempadan,” katanya dalam kenyataan, malam ini.
Beliau berkata, sepanjang tahun ini, sebanyak 538 serbuan dijalankan di kawasan tanggungjawab Briged Tengah yang meliputi Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.
“Hasilnya, seramai 1,649 individu ditangkap, dengan pelbagai jenis rampasan membabitkan nilai keseluruhan sebanyak RM1.1 bilion.
“Kejayaan ini membuktikan komitmen berterusan PGA dalam membanteras jenayah yang mengancam keselamatan serta kesejahteraan negara,” katanya.
Dalam pada itu, Hakemal menyeru kerjasama orang awam untuk menjadi barisan hadapan dengan menyalurkan maklumat serta sebagai mata dan telinga kepada pasukan keselamatan, demi memastikan sempadan negara kekal bebas daripada pencerobohan dan aktiviti haram.
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui PGA akan terus menjalankan tugas dan tanggungjawab secara khususnya dalam menjaga keselamatan negara dan ketenteraman awam dengan penuh dedikasi, profesionalisme serta berintegriti demi kesejahteraan dan kemakmuran rakyat Malaysia,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




