Britain naikkan gaji minimum 9.8 peratus

Britain naikkan gaji minimum 9.8 peratus

LONDON: Britain menaikkan gaji minimum pekerja sebanyak 9.8 peratus kepada 11.44 pound (RM67.00) sejam mulai April tahun hadapan.

Menteri Kewangan, Jeremy Hunt mengumumkan peningkatan itu sebelum belanjawan pertengahan tahun yang dijangka mengurangkan cukai dan meletakkan keperluan lebih besar kepada mereka yang tidak bekerja untuk mencari pekerjaan sebelum berdepan kehilangan bantuan kerajaan.

Bulan lalu, Hunt memberitahu persidangan tahunan Parti Konservatif beliau berhasrat meningkatkan gaji minimum kepada sekurang-kurangnya 11 pound (RM64.43) sejam.

“Upah Sara Hidup Nasional membantu mengurangkan separuh bilangan orang yang bergaji rendah sejak 2010,” katanya.

Kenaikan gaji minimum itu dilakukan ketika Bank of England memberi amaran kadar pertumbuhan gaji semasa iaitu sekitar 8 peratus pada awal tahun ini akan menyukarkan untuk mengembalikan inflasi kepada sasaran dua peratus.

Pada 2022, Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) menganggarkan gaji minimum Britain adalah bersamaan dengan 58 peratus daripada pendapatan sepenuh masa, yang ketiga tertinggi di Eropah barat selepas Portugal dan Perancis.

Menurut kerajaan, kira-kira 2.7 juta pekerja akan mendapat manfaat secara langsung daripada kenaikan itu.- REUTERS