mhafis@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Jangan malu bertanya dan perlu memahami aliran dan tatacara kerja. Itu prinsip dipegang Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abd Halim Aman.
Mengimbas kembali ketika bertugas sebagai Majistret di Kluang, Johor, beliau berkata, pengalamannya sangat sedikit dan tugas di Jabatan Peguam Negara berbeza daripada tugas di mahkamah.
“Apabila tiba di Kluang, saya banyak belajar daripada kakitangan mahkamah yang sudah lama berkhidmat, antaranya setiausaha, ketua kerani dan jurubahasa. Merekalah guru saya.
“Prinsipnya, jangan malu bertanya. Kita perlu memahami aliran dan tatacara kerja. Dengan panduan daripada mereka, urusan menjadi lebih mudah.
“Selepas melakukannya setiap hari selama kira-kira dua minggu, tugas itu mula menjadi rutin. Namun, minat dan tekad untuk mempelajari perkara baharu sangat penting,”katanya dalam podcast Kolar Hitam: Bukan Sekadar Operasi’, hari ini.
Beliau berkata, dirinya tidak mempunyai idola tertentu dalam perkhidmatan.
“Saya berpegang kepada prinsip bahawa seseorang pegawai perlu jujur, amanah, telus dan berdedikasi.
“Dalam kehidupan, rujukan utama saya ialah ibu bapa. Dalam perkhidmatan pula, saya membina prinsip dan jati diri sendiri serta terus belajar daripada pengalaman,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




