norhayati_nordin@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Selepas kejayaan melakar namanya sebagai pelakon filem di Indonesia, Bront Palarae, 47, terus membanggakan Malaysia di pentas penganugerahan luar negara dengan membawa pulang trofi kemenangan.
Terbaru, Bront atau nama sebenarnya, Nasrul Suhaimin Saifuddin dipilih sebagai pemenang trofi Pelakon Pembantu Terbaik di Anugerah Baan Nang Klang Lakorn ke-21 di Thailand.
Berita gembira kemenangannya menerusi filem seram, The Cursed Land arahan Panu Aree itu dikongsikan Bront dalam hantaran dibuat di akuan media sosial rasminya, Instagram (IG).
“Alhamdulillah! Berlakon dalam filem Thailand terasa seperti mimpi yang jauh, dan kini pengiktirafan ini sangat gila.
“Dari lubuk hati ini, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pasukan The Cursed Land Kerja keras anda menjadikan ini sangat bermakna.
“Saya berharap suatu hari nanti pawagam Thailand akan menceritakan lebih banyak lagi cerita mengenai suara-suara kecil dan kekayaan sejarah masyarakat Melayu di wilayah Selatan (Thailand).
“Semestinya, ia adalah kisah yang patut didengari dan diraikan oleh kita semua,” tulisnya dalam coretan penuh makna di lembaran IG miliknya yang dimuatnaik semalam.
Pada acara anugerah berprestij di Thailand itu, Bront berjaya menewaskan empat calon finalis dari negara jiran itu seperti Benjamin Joseph Varney menerusi filem In Youth We Trust, Wanarat Ratsameerat (Taklee Genesis), Sanya Kunakorn (How to Make Millions Before Grandma Dies) dan Pongsatorn Jongwilas.
Bront yang melakonkan watak Heem dalam filem The Cursed Landitu dan berjaya ‘menjual’ bakat lakonannya di arena industri perfileman Thailand, sebelum ini pernah memenangi trofi Pelakon Lelaki Terbaik di Anugerah Festival Filem Antarabangsa ASEAN 2015 (AIFFA 2015).
Difahamkan juga The Cursed Land yang ditayangkan di Thailand pada 11 Julai tahun lalu turut mendapat tayangan di beberapa festival filem antarabangsa berprestij di seluruh dunia.
Antaranya, tayangan di Festival Filem Antarabangsa Rotterdam (IFFR) di Belanda, Festival Filem Antarabangsa Ho Chi Minh City di Vietnam, Festival Filem Asia di Itali, Festival Filem Antarabangsa Bucheon (BiFan) di Korea Selatan dan Festival Filem Asia New York (NYAFF) di Amerika Syarikat.
Bront yang juga pelakon filem Pengabdi Setan di Indonesia ini sudah lebih dua dekad aktif berlakon di negara kelahirannya, Malaysia dan sehingga kini memenangi banyak anugerah sebagai Pelakon Terbaik di dalam dan luar negara.
© New Straits Times Press (M) Bhd




