am@hmetro.com.my
Melaka: Pengarah yang juga pengurus jualan di sebuah syarikat swasta di negeri ini direman lima hari kerana disyaki membuat tuntutan palsu berkaitan kerja perbekalan peralatan sukan badminton berjumlah RM78,812.60, kira-kira dua tahun lalu.
Perintah reman sehingga 15 Februari ini dikeluarkan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman di Mahkamah Majistret 2 di Ayer Keroh, hari ini, selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Melaka, bagi melengkapkan siasatan kes berkenaan.
Sumber memaklumkan suspek lelaki berusia 44 tahun itu ditahan jam 3.30 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Melaka.
“Suspek ditahan atas dakwaan mengemukakan dokumen yang mempunyai butir matan palsu kepada akauntan sebuah syarikat pembekalan bagi kerja pembekalan alatan sukan badminton berjumlah keseluruhan RM78,812.60 sedangkan pembekalan tidak sempurna dilaksanakan,” katanya.
Pengarah SPRM Melaka, Adi Supian Shafie ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
© New Straits Times Press (M) Bhd
