Leipzig: Pemain remaja RB Leipzig, Yan Diomande, muncul pemain kedua termuda dalam sejarah Bundesliga menjaringkan hatrik selepas meledak tiga gol dalam tempoh 18 minit ketika pasukannya membelasah Eintracht Frankfurt 6-0, awal pagi tadi.
Pemain berusia 19 tahun dari Ivory Coast itu meledak gol pada minit ke-47, 57 dan 65, menjadikan jumlah gol musimannya meningkat kepada enam dalam aksi liga.
Rekod pemain paling muda kekal milik Walter Bechtold dari Frankfurt yang mencatat hatrik pada 1965.
Conrad Harder membuka tirai jaringan seawal minit kelima apabila larian sempurnanya membolehkan dia menanduk melepasi penjaga gol Frankfurt, Michael Zetterer, yang keluar terlalu awal.
Frankfurt hampir menyamakan kedudukan selepas rembatan jarak jauh Mo Dahoud menggegar palang, namun Leipzig pantas menghukum mereka melalui serangan balas yang disudahkan Christoph Baumgartner pada minit ke-30.
Diomande kemudian mengambil alih pentas, menjaringkan dua gol berturut-turut sebelum David Raum menambah jaringan kelima menerusi sepakan penalti minit ke-62.
Tiga minit selepas itu, Diomande melengkapkan hatrik sulung Bundesliga dengan penyudah kemas.
Leipzig kini mengumpul 29 mata di tangga kedua, lapan mata di belakang pendahulu Bayern Munich yang menang 5-0 ke atas VfB Stuttgart.
Borussia Dortmund di tempat ketiga dengan 25 mata bakal beraksi menentang Hoffenheim malam ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




