Budak genius matematik kini bergelar suami orang

Budak genius matematik kini bergelar suami orang

KUALA LUMPUR – Adi Putra Abdul Ghani yang pernah menggemparkan negara selepas digelar sebagai genius matematik menamatkan zaman bujangnya bersama gadis pilihan, Siti Sarah Zurkanain hari ini.

Majlis pernikahan dikatakan berlangsung di kediaman pengantin perempuan di Lundang di Kota Bharu, Kelantan.

Adi, 24, memberikan wang hantaran berjumlah RM9,999.99 kepada Siti Sarah, 27, berdasarkan papar cek bank.

Foto-foto majlis istimewa itu dikongsi oleh adalah jurusolek profesional, Amytouch  menerusi story di laman Instagram miliknya di sini hari ini.

Sementara itu, menerusi satu hantaran di Facebook, bapa Adi iaitu Abdul Ghani memaklumkan majlis perkahwinan anaknya bersama Siti Sarah berjalan lancar.

“Berkat doa daripada tuan, puan, sahabat serta muridnya, dengan lafaz nikah sekali sahaja dan kenduri kahwin berjalan lancar.

“Alhamdulillah, cuaca pun baik di Kota Bharu, hari ini,” katanya.

Menerusi ruangan komen, rata-rata netizen mengucapkan tahniah kepada Adi Putra dan Siti Sarah yang bergelar raja sehari.

Adi Putra dan Siti Sarah mengikat tali pertunangan pada 19 Julai lalu.

Ogos lalu, Adi Putra dilaporkan berkata, dia mengenali Siti Sarah sejak lapan tahun lalu menerusi laman sosial.

“Masa tu saya mengajar di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Dia ada kawan di sana, jadi kami kenal melalui connection di Instagram. Bermula di direct message (DM) menjadi friendship, kemudian relationship pula. Pada masa tu dia masih belajar.

“Kami ambil masa tujuh tahun untuk kumpul duit sehinggalah majlis pertunangan diadakan di kediamannya di Kota Bharu, Kelantan pada 19 Julai,” ujarnya.

Untuk rekod, Adi Putra pernah menggemparkan negara selepas digelar sebagai genius matematik, khususnya dalam pengetahuan algebra, trigonometri dan darab (antara lima hingga enam digit) pada usia empat tahun.

Ketika berumur enam tahun, anak kelahiran Bagan Serai, Perak itu mendapat tawaran melanjutkan pengajian di dua universiti terkemuka dunia iaitu Universiti Oxford dan Universiti Harvard. – MalaysiaGazette

Scroll to Top