Budaya integriti perlu usaha kolektif, berterusan – Amir Hamzah

Budaya integriti perlu usaha kolektif, berterusan – Amir Hamzah

PUTRAJAYA – Pembudayaan integriti dalam landskap Malaysia bukan sekadar agenda, bahkan ia adalah misi yang memerlukan usaha kolektif dan berterusan.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pelaksanaan inisiatif berkaitan integriti, governans dan anti rasuah mampu menerapkan nilai ketelusan, akauntabiliti dan kelakuan beretika dalam setiap aspek masyarakat kita.

“Pembudayaan integriti bukanlah hanya sebuah matlamat untuk dicapai secara sekali imbas, tetapi ianya merupakan proses berterusan yang menuntut dedikasi berpanjangan.

“Segala amalan berteraskan integriti itu bukan lagi suatu pilihan, sebaliknya ia menjadi naluri dan sebati dengan watak nasional kita, membimbing tindakan dan keputusan setiap rakyat,” katanya ketika membacakan teks ucapan Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof, di sini, hari ini.

Terdahulu beliau merasmikan Majlis Anugerah Integriti, Governans dan Anti Rasuah (AIGA) 2023 di Dewan Seri Siantan, Perbadanan Putrajaya, di sini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Menurut Amir Hamzah, AIGA mempunyai kepentingan signifikan dalam perjalanan negara kita ke arah kecemerlangan menerusi integriti dan tadbir urus, selari dengan konsep Malaysia Madani.

“Dengan mengiktiraf dan meraikan pencapaian merentasi pelbagai sektor, AIGA mengiktiraf peranan penting yang dimainkan oleh organisasi-organisasi awam dan swasta dalam membentuk Malaysia yang berdaya tahan, adil dan makmur.

“Pada malam ini, pengiktirafan akan diberikan kepada organisasi yang telah mencapai kemajuan yang signifikan dalam mengutamakan ketelusan, akauntabiliti serta kelakuan beretika,” katanya.

Beliau berkata, dalam era digital, teknologi memberikan cabaran dan peluang dalam meningkatkan integriti dan tatakelola baik serta memerangi rasuah.

“Organisasi awam dan swasta boleh memanfaatkan kuasa teknologi untuk meningkatkan ketelusan, menyelaraskan proses dan membangunkan sistem yang lebih bertanggungjawab dan efisien.

“Menerima kemajuan teknologi boleh merevolusikan cara kita meningkatkan integriti dan tatakelola yang baik,” katanya.

Katanya, Kerajaan Malaysia komited memanfaatkan teknologi untuk memperkukuh inisiatif integriti, tatakelola baik dan pencegahan rasuah.

“Inisiatif seperti perkhidmatan e-Kerajaan, aplikasi rantaian blok, dan analisis data sedang diterokai untuk meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti.

“Platform Tech for Integrity (T4I) di bawah Inisiatif Perkongsian Menentang Rasuah (PACI) Forum Ekonomi Dunia boleh dijadikan sumber rujukan atau ilham.

“Ia bagi mempercepatkan usaha pencegahan rasuah, mengurangkan jumlah masa diperlukan, meningkatkan integriti dan tatakelola baik dan memberi impak ketara,” katanya. – MalaysiaGazette