zulfaizan@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Selepas mengharungi perlawanan pertama musim ini, bintang import baharu Selangor, Oliver Buff boleh dianggap sebagai pemain yang paling menonjol dalam Liga Super setakat ini.
Pemain tengah dari Switzerland itu mempamerkan aksi cemerlang dan meledak dua gol ketika membantu Red Giants menewaskan Sri Pahang 3-1 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), kelmarin.
Berdasarkan prestasi pemenang Piala Dunia Bawah 17 Tahun (B-17) edisi 2009 itu pada penampilan sulungnya dalam Liga Malaysia (Liga M), Buff bakal menjadi pemain yang harus diberi tumpuan pasukan lain kerana kebolehannya menjadi bertindak sebagai perancangan selain mampu meledak jaringan.
Malah, pengendali Selangor, Karsten Neitzel turut memuji persembahan yang dipamerkan pemain yang pernah beraksi di Sukan Olimpik London 2012 itu serta semangat kerjasama tinggi yang ditunjukkan semua pemain Selangor.
“Sebenarnya perlawanan hari ini (malam tadi) tidak mudah, namun Oliver Buff beraksi dengan baik, tetapi apa yang lebih penting bagi saya adalah kami beraksi secara berpasukan dan itu yang paling penting.
“Benar, Oli (Buff) menjaringkan dua gol, tetapi pemain lain juga melakukan tugas dengan baik, itu yang lebih utama. Semangat berpasukan semua pemain hari ini sangat bagus dan ini amat penting untuk masa depan kami.
“Sudah pasti pemain memerlukan masa untuk mempamerkan aksi berbeza, mungkin hari ini (milik) Oli, namun jangan lupa dengan Ifedayo. Dia pemenang anugerah kasut emas sebelum ini,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.
Buff, 28, menjadi antara tiga pemain import baharu yang dibawa masuk Selangor musim ini selain Tim Heubach dan Manuel Konrad yang beraksi di posisi pertahanan.
Anak buah Neitzel akan terus mengharungi perlawanan sukar di awal musim ini apabila akan berdepan satu lagi pasukan dari Pantai Timur, Terengganu FC (TFC) di gelanggang lawan, Selasa ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




