georgie@hmetro.com.my
Tanggal 31 Januari ini bakal melakar satu lagi pencapaian indah buat kumpulan Dolla apabila peluang beraksi di konsert mega K-Spark in Malaysia dianggap satu penghormatan buat mereka.
Ini kerana Dolla yang dianggotai Angel, Sabronzo dan Tabby akan berkongsi pentas dengan nama besar dunia dari Korea Selatan termasuk Raja K-Pop, G-Dragon, Hwasa, ITZY, DPR IAN, dan kumpulan tempatan, 3P.
Lebih manis, kumpulan yang popular dengan lagu MWA! itu dipilih sendiri oleh pengurusan G-Dragon bagi melengkapkan senarai penghibur acara itu.
Menurut Sabronzo, impian besar itu memang diidamkan sejak sekian lama kerana mereka membesar dengan muzik nama-nama bintang dunia terbabit.
Katanya, mereka juga amat terharu apabila diberikan kepercayaan sebagai wakili negara.
“Pertama sekali, kami semua pun memang sangat tidak sangka dan susah hendak percaya barisan penghibur sebegitu datang ke Malaysia. Kami sangat-sangat bersyukur.
“Pada hari sebenar, menyaksikan persembahan mereka, pasti mengagumkan. Pada masa sama, kami pun berkongsi pentas. Harap-harap kami mampu wakili negara dengan baik,” katanya.
Reputasi Dolla sebagai penghibur juga tidak perlu dipertikai. Aura dan tenaga mereka di atas pentas sentiasa ‘berapi’ dan itulah kekuatan yang sentiasa ditampilkan sebagai mengukuh nama dalam kerjaya seni.
Namun, mereka masih sentiasa memperbaiki serta mempertingkatkan corak persembahan dari semasa ke semasa.
Berkongsi mengenai persiapan menjelang K-Spark in Malaysia itu, Tabby berkata, mereka kini mempergiatkan latihan baik pada bahagian vokal mahupun tarian.
“Menyentuh mengenai persiapan, Dolla memang selalu lakukan usaha yang sama apabila membuat persembahan untuk pentas sebesar ini. Kami banyak berada di studio dan lebihkan kelas menari.
“Persembahan itu pasti akan menampilkan banyak aspek berbeza daripada segi lagu. Bukanlah sangat berbeza dengan yang sebelumnya, tapi kali ini akan lebih menarik,” katanya.
Dalam pada itu, Angel pula percaya penonton konsert itu pastinya datang daripada pelbagai latar belakang terutama peminat fanatik empat artis Korea Selatan itu yang pasti akan membanjirinya stadium.
Ia sekali gus menjadi peluang keemasan untuk Dolla menarik peminat baharu terutama golongan yang langsung tidak mengenali mereka.
“Ya, barangkali kebanyakan penonton kali ini bukan daripada kalangan yang mengenali Dolla. Jadi, ia kesempatan terbaik untuk memperkenal diri kami dan berikan persembahan terbaik.
“Bentuk persembahan itu mungkin belum penonton pernah lihat. Harapnya, mereka akan lebih kenal kami dan sedar bahawa ada kumpulan seperti kami yang mewakili Malaysia,” katanya.
K-Spark in Malaysia yang dibawakan Klook Malaysia dan anjuran Machi Production bakal dilangsungkan di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.
Siri K-Spark cukup istimewa kerana pertama kali menampilkan artis tempatan selain penganjur berusaha membawakan G-Dragon. Bagaimanapun, perincian mengenai penjualan tiket masih belum dikongsi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




