sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai mengakui gagal memperagakan prestasi terbaik ketika tewas di suku akhir Terbuka Switzerland, semalam.
Bagi Shevon, pada awalnya mereka mampu memberi tentangan kepada pasangan Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran tetapi kemudian membenarkan pemain lawan menguasai gelanggang dengan lebih baik.
“Dalam aksi hari ini (semalam) memang corak permainan kami agak kurang terutama dari segi kepantasan dan tempo permainan.
“Keadaan itu membolehkan pasukan lawan mengawal hampir keseluruhan rentak perlawanan. Memang agak kecewa kerana kami tidak dapat mempertahankan kejuaraan dimenangi tahun lalu. Inilah sukan, pasti ada yang kalah dan menang, jadi kami perlu terima,” katanya.
Terdahulu, pada aksi suku akhir di St Jakobshalle, Soon Huat-Shevon yang turun selaku pilihan pertama terpaksa akur dengan kekalahan straight set kepada gandingan Dechapol-Supissara 18-21 dan 10-21.
Untuk rekod, setakat tiga bulan pertama ini, mereka sudah bertemu sebanyak tiga kali dan menyaksikan wakil negara itu mencatat satu kemenangan serta dua kekalahan.
Selain itu, Shevon memaklumkan mereka kini dalam fasa mempertingkatkan semula kekuatan dan memperbaiki kelemahan sebelum menyertai Kejohanan Badminton Asia (BAC) di Ningbo, China pada 8 hingga 13 April nanti.
© New Straits Times Press (M) Bhd




