am@hmetro.com.my
KEHEBATAN vokal tiga penyanyi ini tidak perlu dipertikaikan lagi kerana masing-masing sudah membuktikan kewibawaan mereka dalam pertandingan nyanyian yang disertai sebelum ini.
Kali ini, Datin Alyah, Ayu Damit dan Idayu Yaakob akan bergabung di atas pentas bagi menjayakan persembahan eksklusif yang akan berlangsung di Hotel Park Inn by Radisson Putrajaya pada 21 dan 22 Jun depan.
Persembahan bertemakan An Evening To Remember With Ayu, Idayu & Alyah itu bukan saja menyaksikan mereka menyampaikan lagu hits secara solo, malah, bersatu vokal secara harmoni untuk dua malam berturut-turut.
Pengarah Kreatif dan Perhubungan Media An Evening To Remember With Ayu, Idayu & Alya, Slen Fadzil berkata, idea gabungan tiga penyanyi dari Johor, Kelantan dan Sabah itu tercetus daripada Alyah yang inginkan gandingan padu dalam kalangan sahabat baiknya.
“Sebagaimana yang kita ketahui, Alyah, Ayu dan Idayu masing-masing dicungkil bakat mereka dari tiga pertandingan nyanyian popular iaitu Bintang HMI, One In A Million (OIAM) dan Akademi Fantasia Megastar (AF Megastar).
“Masing-masing memiliki kehebatan vokal tersendiri dan secara kebetulan, mereka juga menggemari genre lagu yang sama khususnya balada dan pop komersial.
“Jadi, memang sesuailah mereka digabungkan untuk memberikan kepuasan berganda kepada penonton kelak. Pada kedua-kedua malam itu, penonton akan dihiburkan dengan lagu-lagu hits mereka sendiri, selain melodi ‘evergreen’ hingga terkini daripada artis tempatan dan antarabangsa,” katanya ketika ditemui pada sidang media showcase berkenaan di Hotel Park Inn by Radisson Putrajaya di sini, baru-baru ini.
Turut hadir, Pengurus Besar, Park Inn by Radisson Putrajaya, Yusli Yunus; Pengarah Projek Showcase, Izza Safinaz Ibrahim dan rakan penaja.
Slen berkata, pihaknya sangat terharu kerana showcase itu mendapat kerjasama terbaik daripada Park Inn by Radisson Putrajaya.
“Penonton tidak perlu risau kerana lokasi hotel juga menjamin keselesaan dari segi tontonan dan lebih menarik, penonton akan disajikan hidangan koktel sebelum persembahan bermula.
“Bukan itu sahaja, peminat yang datang dari luar Lembah Klang juga boleh menginap dengan selesa di hotel ini dengan pakej berbaloi,” katanya.
Sementara itu, Alyah berkata, dia bersetuju untuk mengadakan kerjasama bersama Idayu dan Ayu kerana mahu berkongsi rezeki dengan penyanyi lain.
“Kerjasama ini banyak manfaatnya untuk semua pihak. Apabila kami bertiga, semuanya dari segi modal dan keuntungan juga akan dikongsi bersama. Kami juga merancang untuk menjadikan showcase ini sebagai satu jenama kelak,” katanya.
Alyah berkata, memilih untuk bekerjasama dengan Idayu dan Ayu kerana mereka sanggup untuk susah dan senang dengannya.
“Jika nak diikutkan, memang saya boleh pilih untuk kolaborasi dengan penyanyi gred A. Tapi, adakah mereka sanggup keluarkan modal terlebih dulu?
“Saya ada bertanya beberapa penyanyi, namun pendekatan mereka berbeza di mana mereka mahu saya bayar dan hanya datang menyanyi saja, sedangkan saya mahu bekerjasama dengan penyanyi yang sanggup susah dan senang bersama,” katanya.
Idayu pula berkata, dia juga tidak sabar dan teruja untuk menjayakan ‘showcase’ pertamanya itu bersama Alyah dan Ayu.
“Mengikut perancangan asal, hanya saya dan Alyah terbabit dalam ‘showcase’ ini. Namun, bagi menjadikan ia lebih menarik, kami turut mengundang Ayu.
“Insya-Allah, Alyah juga merancang membawa ‘showcase’ ini ke Johor selepas ini. Kami akan berbincang dengan pengurusan salah sebuah hotel di sana nanti,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
