suliati@hmetro.com.my
JIKA kebanyakan pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mengimpikan universiti terkemuka sebagai pilihan menyambung pengajian, berbeza pula jalan dipilih Dr Wan Noor Sofia Wan Shamsuddin, 30, satu ketika dulu.
Biarpun meraih keputusan 8A dalam SPM, anak kelahiran Pahang ini mengejutkan ramai pihak apabila memilih Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) untuk meneruskan pengajian.
Menyedari keputusannya mengundang tanda tanya, namun ia tidak menggoyahkan pendirian Dr Wan Noor Sofia yang lebih mesra disapa Sofia.
Beliau teguh dengan pendirian dan kini berjaya membuktikan TVET bukan sekadar pilihan kelas kedua, sebaliknya langkah bijak yang membuka banyak pintu kejayaan.
“Walaupun memperoleh 8A, saya sedar ramai lagi lebih hebat dalam akademik. Dari situ saya mula fikir untuk menjadi lain daripada yang lain.
“Ketika itulah saya sedar, saya perlukan lebih daripada sekadar keputusan peperiksaan yang cemerlang. Saya perlukan kemahiran teknikal yang praktikal.
“Dari situ datang kesedaran melengkapkan diri dengan kemahiran secara langsung (hands-on), sesuatu yang tidak ramai pelajar ambil serius ketika itu,” katanya.
Bekas pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Muadzam Shah itu mengakui, keputusannya menyertai TVET di KKTM ternyata mengundang pelbagai reaksi orang sekeliling.
Tidak hanya cikgu sekolah dan rakan, bahkan saudara-mara juga bertanya kenapa dia tolak tawaran universiti ternama, tetapi memilih TVET.
Malah, Dr Wan Noor Sofia mengambil masa meyakinkan dirinya dan orang lain bahawa itu bukan pilihan kedua, tapi jalan alternatif yang unik dan berpotensi besar.
“Jujur saya katakan, ragu-ragu itu ada. Lebih-lebih lagi 10 tahun lepas belum ada dasar TVET negara, tidak banyak liputan media dan pengiktirafan meluas seperti sekarang.
“Apatah lagi apabila jadi wanita yang ingin masuk bidang praktikal dan teknikal, banyak persoalan timbul. Namun selepas buat kajian, tahu hala tuju dan yakin dengan pilihan sendiri, selebihnya saya serah pada Allah.
“Saya bersyukur keluarga terutama ibu pernah dengar berkenaan inisiatif TVET MARA menyokong dan sangat menggalakkan saya mengambil peluang ini,” katanya.
Berkongsi pengalaman pembelajarannya di KKTM, Sofia menyifatkannya sebagai sangat menyeronokkan dan melangkaui jangkaannya.
Katanya, KKTM Kuantan mempunyai fasiliti yang sangat canggih dari makmal metrologi, mesin larik (lathe) dan milling kawalan berangka komputer (CNC) sehinggalah kepada perisian aplikasi reka bentuk industri seperti Solidworks dan perisian pengaturcaraan seperti Matlabs.
“Saya masih ingat dalam antara projek CNC, kami diberi peluang kendalikan mesin sepenuhnya sendiri dengan bimbingan pensyarah berpengalaman.
“Selain itu, suasana di KKTM Kuantan sangat kondusif dan saya bersyukur pensyarah sentiasa beri galakan serta mendokong impian saya meneruskan pelajaran ke luar negara,” katanya.
Dr Wan Noor Sofia akhirnya berpeluang menyambung pengajian di luar negara dan mendapat pindahan kredit daripada kursus diploma KKTM ke University of South Australia.
“Sepatutnya, saya ambil masa lebih lima kurang lima tahun untuk tamatkan ijazah sarjana muda, tetapi kerana asas kukuh dari TVET, saya hanya perlukan 2.5 tahun.
“Dari situ, saya sedar laluan TVET diiktiraf dan merasa saya membuat keputusan yang tepat,” katanya.
Dr Wan Noor Sofia melanjutkan pengajian Bachelor in Mechanical and Advanced Manufacturing Engineering (Hons) dan doktor falsafah (PhD) dalam Energy and Advanced Manufacturing di universiti berkenaan.
Kini, Sofia memegang jawatan sebagai Penyelidik Kanan di Malaysia Automotive, Robotics and IoT Institute (MARii), agensi strategik di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) yang memfokuskan pembangunan teknologi automotif, pendigitalan industri serta mobiliti masa depan.
Dalam peranannya, Dr Wan Noor Sofia berpeluang mengetuai dan terbabit secara langsung dalam pelbagai projek penyelidikan automotif termasuk yang berimpak tinggi di peringkat antarabangsa.
“Kerja saya menuntut gabungan antara pemahaman teknikal, kemampuan komunikasi dasar dan pemikiran strategik.
“Saya bersyukur asas TVET yang saya miliki dahulu banyak membantu saya menyesuaikan diri dengan peranan ini,” katanya.
Dr Wan Noor Sofia berkata, TVET juga memberinya asas kejuruteraan yang baik, bukan sekadar teori, tetapi kemahiran praktikal yang realistik.
“Dalam skop kerja saya sekarang iaitu bidang automotif, saya banyak berurusan dengan pengurusan tertinggi pengeluar kereta, jurutera, ahli teknologi dan pembekal kenderaan.
“Dengan latar belakang TVET, saya mudah memahami bahasa teknikal mereka. Ia juga merapatkan jurang antara perangka dasar negara dan amalan di industri,” katanya yang berharap bidang TVET dapat menjadi platform dalam menggalakkan lebih ramai wanita menceburi bidang kejuruteraan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




