Bukan mudah cari pengganti

Bukan mudah cari pengganti

syafil.syazwan@hmetro.com.my

PELAKON dan pengarah, Farid Kamil mengakui perjalanan hidupnya dengan gelaran duda bukan sesuatu yang mudah.

Sejak enam bulan membawa diri selepas berpisah kali kedua dengan Diana Danielle pelbagai suka duka ditempuhi aktor itu.

Farid atau nama sebenarnya Farid Kamil Zahari, 44, berkata dia mengenali bekas isterinya sejak 19 tahun lalu dan mencari pengganti bukanlah tindakan mudah.

Begitupun, dia juga tidak menutup pintu hati untuk menerima kehadiran orang baharu sekiranya ditakdirkan bertemu jodoh semula.

Pelakon filem Bisikan Dosa itu, mengakui ketika bercinta dan berkahwin dahulu, seluruh jiwa raganya diberikan sepenuhnya kepada Diana, membuatkan dia kini lebih berhati-hati untuk mengulangi perkara sama.

Mengulas mengenai kehidupannya lagi, Farid berkongsi fokus utamanya adalah terhadap dua anaknya, Muhammad dan Nur Aurora.

“Alhamdulillah, saya rasa tenang dan bersyukur dengan kehidupan sekarang. Walaupun bersendirian, saya tidak pernah rasa kesepian kerana matlamat saya adalah kelangsungan hidup anak-anak.

“Saya tidak boleh berdiam diri, sebaliknya perlu menambah pendapatan untuk masa depan mereka,” katanya.

Farid juga aktif membabitkan anak-anaknya dalam sukan bola sepak sebagai asas pembangunan mereka, malah Aurora kini bermain bersama KL Rangers, manakala Muhammad mengikuti latihan intensif hampir setiap hari.

“Pendidikan tetap keutamaan mereka, tetapi saya galakkan penyertaan dalam sukan kerana ia membina disiplin dan falsafah hidup. Dunia kini sudah berubah, peluang yang ada jangan kita lepaskan,” katanya ketika ditemui di majlis pelancaran kedai motosikal elektrik, NeoFK Motorsport, baru-baru ini.

Sering kali lelaki dikatakan cepat ‘move on’, namun bagi bintang filem Lagenda Budak Setan itu, soal jodoh adalah ketentuan Ilahi.

Menurutnya, ada wanita yang lebih dahulu berkahwin selepas bercerai, ada pula lelaki yang lambat. Semua itu bergantung pada jiwa dan matlamat hidup seseorang.

Farid juga menegaskan perkahwinan tidak seharusnya dijadikan jalan keluar daripada rasa kesepian kerana ikatan itu menuntut pengorbanan lebih besar.

Dari sudut bisnes pula, Farid kini membuka lembaran baharu dalam kerjayanya apabila tampil sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), NeoFK Motorsport yang memberi fokus kepada penjualan motosikal elektrik (EV).

Menurutnya, langkahnya menceburi bidang perniagaan berasaskan teknologi hijau itu adalah kesinambungan daripada minatnya terhadap dunia permotoran yang sinonim dengan dirinya.

“Alhamdulillah, walaupun perancangan agak singkat, kami berjaya melancarkan premis ini. Keistimewaan motosikal elektrik ini adalah reka bentuk dan reka ciptanya dihasilkan oleh anak tempatan, sekali gus menarik perhatian saya.

“Bagi saya, permotoran juga adalah seni. Tambahan pula, motosikal ini dihasilkan oleh anak tempatan. Itu membuatkan saya ingin tahu cara pemikiran mereka dalam mencipta sesuatu yang baharu.

“Sasaran utama saya ialah membantu mengurangkan pencemaran bumi dan udara, selain memberi pilihan lebih mesra alam kepada rakyat Malaysia dengan harga berpatutan serta kos penyelenggaraan rendah,” katanya.

Walaupun sibuk sebagai CEO, Farid menegaskan dunia lakonan tetap tidak ditinggalkan.

“Buat masa sekarang saya beri tumpuan 100 peratus kepada penjualan motosikal ini kerana rebat kerajaan hanya berjalan hingga hujung tahun. Lakonan tetap ada, cuma keutamaan saya kini adalah memastikan bisnes ini berjaya,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top