Sisi semangat patriotisme 3 anak seni

Sisi semangat patriotisme 3 anak seni

georgie@hmetro.com.my

INDAHNYA industri hiburan tempatan kita lebih terasa kerana bertiangkan muhibah yang cukup konkrit. Dunia seni Malaysia berwarna-warni kerana di dalamnya dihuni individu dari latar belakang berbeza.

Teristimewa sempena Hari Malaysia ini, tiga pelakon tampan, Daniel Fong, Hariz Hamdan dan Theebaan G ditampilkan sebagai penghias kulit depan RAP. Nama-nama yang bukan asing mekarnya dalam industri seni kita.

Semestinya masing-masing ada cerita peribadi apabila menyentuh pasal patriotisme diri dan rasa bangga sebagai anak Malaysia. Akar jati diri mereka teguh serta semangat cintakan negaranya begitu tinggi.

Bagi Daniel atau nama sebenarnya Daniel Fong Weng Chuan, 32, membesar dalam persekitaran kurang bertutur bahasa Melayu tidak menjadikan dirinya ‘less Malaysian’.

Pelakon Kerana Seorang Lelaki dan Generasi Perfect 10 itu sentiasa menjunjung tinggi bahasa kebangsaan apalagi kini rancak mencipta nama dalam pasaran industri lakon layar arus perdana.

Menurutnya, cabaran kurang petah pada awal karier lakonannya beberapa tahun lalu dirasakan berat. Tapi tidak mematahkan semangatnya langsung untuk menembusi industri lakonan yang di dominasi Bumiputera.

“Semestinya di sekolah rendah kita belajar bahasa Melayu tapi sejurus itu saya berpindah ke sekolah Inggeris. Kemudian ke Australia pula dan apabila pulang sini, saya banyak terbabit tawaran pasaran Cina.

“Jadi memang lama bahasa Melayu saya tidak diasah dan mungkin sebab itulah berdepan kesulitan awal-awal dulu. Dua tahun terawal, saya berhasil jugalah cipta nama dalam pasaran Cina.

“Jadi, bila memasuki produksi drama Melayu, saya kena korbankan pencapaian terdahulu, bermula dari bawah semula. Tiada satu saat pun saya bazirkan dan sentiasa perbaiki kepetahan dari hari ke hari,” katanya.

Menjadi antara pelakon bukan Melayu popular kala ini, Daniel bagaimanapun realistik terima tawaran watak. Dia takkan semena-mena terima tawaran yang terang-terang tidak kena dengan identitinya.

“Misalnya diberikan watak lelaki Melayu, semestinya saya takkan sedap hati. Bukan kerana tak nak, tapi sebab ia tidak masuk akal. Lainlah kalau watak itu watak mualaf, memang sesuailah,” katanya.

Menyentuh perkembangan seni pula, Daniel cukup berbangga apabila akhirnya membintangi filem sulungnya yang akan ditayangkan tahun depan. Filem itu istimewa kerana dia satu-satunya pelakon Malaysia.

Mana tidak, barisan utama filem itu menampilkan nama-nama besar dari Hong Kong meskipun diterbitkan produksi tempatan. Paling dia bangga apabila pembabitannya dalam filem itu diiktiraf tinggi.

“Saya baru habis penggambaran filem sulung saya. Sudah berlakon beberapa tahun tapi tak pernah ada filem. Saya akan menjadi satu daripada terajunya bersama pelakon ‘otai’ dari Hong Kong.

“Filem itu akan ditayangkan sempena Tahun Baharu Cina tahun depan. Paling buat saya terharu, sewaktu sidang medianya, produksi menyebut sayalah wakil mutlak dari Malaysia untuk naskhah itu,” katanya.

Sanggup berpanas hadiri perarakan merdeka

Pada sambutan kemerdekaan di Putrajaya baru-baru ini, pelakon Hariz Hamdan tidak melepaskan peluang menghadirinya dan sanggup berpanas demi meraikan acara penuh bermakna negara itu.

Hariz atau nama sebenarnya Muhammad Hariz Muhammad Hamdan, 23, akui sangat kagum dengan semangat patriotik rakyat Malaysia. Dia menepis dakwaan Generasi Z atau Gen Z sepertinya kurang semangat itu.

“Ramai cakap Gen Z tak raikan sangat Hari Malaysia. Tapi bila saya turun padang waktu Hari Kebangsaan di Putrajaya tempoh hari, saya dapati ramai pun Gen Z di sana dan yang sebaya saya turun menyambutnya.

“Kebetulan saya tiada kerja dan datang ke sana seawal jam 6 pagi. Rupanya sudah terlalu ramai sampai. Memang terharu sangatlah lihat keindahan rakyat berbilang kaum kita berkumpul sama,” katanya.

Pelakon X-Change itu sejak kecil memang bergaul majmuk dan istilah perpaduan menebal dalam dirinya sejak azali. Mengenang kembali, zaman kecilnya cukup indah sekali.

“Masa di sekolah, saya ramai kawan pelbagai kaum, Cina, India dan lain-lain. Kami sentiasa lepak bersama dan langsung tiada rasa perbezaan apa pun kerana kita pun bercakap satu bahasa.

“Tidak dinafikan bahasa Melayu menyatukan kita tapi tidak kisahlah kalau bertutur bahasa apa pun, kita masih dapat berhubung sesama sendiri. Itulah keindahan kita,” katanya.

Berkongsi perkembangan seninya pula, Hariz akan sibuk sehingga hujung tahun dengan pelbagai projek. Terbaru, drama lakonannya berjudul Seindah Hujan Biasa bersama Nelydia Senrose ditayang di TV3.

Pada masa sama, dia juga sedang melunaskan penggambaran megadrama Andai Itu Takdirnya dan bakal terbabit sebuah lagi megadrama lain sebanyak 50 episod.

“Projek itu diarahkan Datuk Yusry Abdul Halim dan mula penggambaran hujung tahun nanti,” katanya.

Turut terkena tempias kecaman netizen susulan pembabitannya dalam drama Pondan Itu, Hariz mengakui orang luar terlalu cepat jatuh hukum naskhah berkenaan.

“Bila diteliti, jelas ia bukan sengaja mahu mengangkat isu pondan, sebaliknya drama ini menyampaikan pengajaran yang hanya boleh difahami jika ditonton sampai habis,” katanya.

Cuma Malaysia ‘rumah’ saya

Puas menjelajah dunia mengharumkan nama Malaysia sebagai atlet seni pertahanan diri sebelum ini, Theebaan G atau nama sebenarnya Theebaan Govindasamy, 35, percaya Malaysia ‘rumah’ terbaik.

“Saya sudah bertahun lamanya wakil Malaysia dalam seni mempertahankan diri, karate, MMA dan sebagainya. Saya pernah ke banyak negara untuk pertandingan, jumpa ramai orang, dan lihat masyarakat berbeza.

“Ramai orang tanya, bila besar nanti, saya nak ke negara mana. Bukan sekadar cakap saja, tapi tetap Malaysia juga kerana di sini masyarakat kita saling menjulang kita,” katanya.

Pelakon Paskal dan Magik Rompak itu bersyukur walaupun rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum, semua orang membesar dengan nilai dan pengalaman yang hampir sama.

Nilai kekitaan itu turut dirasainya dalam industri seni. Pengalaman berkongsi memori zaman kanak-kanak, makanan, dan lain-lain buat dia berasa selesa bekerjasama dengan sesiapa sahaja tanpa mengira latar belakang.

Kini sudah tujuh tahun bergelar anak seni, Theebaan merasakan graf pencapaiannya memang ketara. Awalnya dia tidak berminat menceburi bidang lakonan dan pernah berhasrat untuk meninggalkannya kerana merasakan ia bukan dunianya.

“Sudah tujuh tahun saya berada dalam industri dan agak lama juga tempoh itu. Mulanya memang tak nak dan tak ada minat langsung nak masuk industri. Tapi selepas buat filem Paskal, timbul sedikit minat.

“Sebagai pelakon, saya diberi hormat itu bukan saja daripada peminat bahkan penerbit. Kini, saya masih berusaha naik tangga teratas lagi kerana berazam mahu berada di puncak,” katanya.

Bercakap mengenai watak pernah dilakonkannya, Theebaan terkesan besar dengan satu karakter dalam sebuah naskhah drama Tamil. Watak terbabit adalah seorang suami panas baran dan kuat mendera.

“Setakat ini, saya rasa yang saya paling suka adalah yang ‘abusive husband’ ini. Sangat mencabar dan memang luar daripada zon selesa saya,” katanya merujuk kepada drama Tamil berjudul Adhira.

Adhira adalah adaptasi daripada drama Melayu fenomena, Syurga Itu Bukan Mudah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top