razis@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: “Kerja ini bukan sekadar kemas rumah, tetapi membantu orang rasa lebih tenang, selesa dan gembira dengan ruang hidup mereka sendiri,” kata pengatur ruang profesional, Wan Malini Idris, 33.
Wan Malini berkata, minat mendalam terhadap aktiviti mengemas dan menyusun pakaian selain perniagaan diusahakan terkesan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menjadi titik permulaan kepada dirinya untuk menceburi kerjaya unik itu.
Katanya, dia bermula dengan aktif berkongsi kandungan berkaitan aktiviti menyusun, mengatur ruang dan mengurangkan barang tidak diperlukan di media sosial selepas melihat trend perkhidmatan itu semakin mendapat perhatian terutama di luar negara.
“Ramai beranggapan tugas saya sekadar melipat baju, namun hakikatnya saya membantu pelanggan membina sistem penyimpanan lebih praktikal dan mudah diurus mengikut rutin harian masing-masing.
“Di Malaysia sebenarnya sudah ada perkhidmatan macam ini, cuma belum ramai yang tahu. Bila saya mula kongsi di Threads, ramai wanita bekerja terutama di Lembah Klang mula bertanya dan mendapatkan khidmat saya.
“Kebanyakan pelanggan terdiri daripada wanita bekerjaya yang sibuk urus keluarga dan tiada pembantu rumah. Mereka memang tiada ada masa nak urus pakaian dan ruang rumah. Malah ada pelanggan menangis sebab sudah lama tertekan tengok rumah sendiri berselerak dan tak tahu nak mula kemas dari mana,” katanya kepada Harian Metro.
Wan Malini berkata, masalah utama kebanyakan pelanggan ialah mereka sukar melepaskan buang barang lama sebab terlalu sayang sehingga rumah nampak berselerak.
“Sebab itu, sebelum proses menyusun dilakukan, saya asingkan barang dan membantu pelanggan membuang pakaian atau barangan yang tidak lagi digunakan supaya ruang lebih lapang dan mudah digunakan,” katanya.
Katanya, tempoh menyiapkan tugasan bergantung kepada tahap kekemasan dan jumlah pakaian dimiliki pelanggan.
“Ada rumah mengambil masa sehingga dua hari untuk disiapkan kerana dipenuhi pakaian di segenap ruang rumah termasuk di lantai dan di dalam mesin basuh rosak,” katanya.
Wan Malini mengakui pekerjaan ini menuntut kekuatan mental dan fizikal yang tinggi kerana akan sentiasa berdepan dengan persekitaran yang berbeza.
“Selain itu, aspek kejujuran sangat penting sebab kita bekerja dalam ruang peribadi pelanggan dan kadang kala akan menemui barang berharga,” katanya.
Bagi membantu pelanggan mengekalkan kekemasan selepas kerja selesai, dia biasanya akan melabel setiap ruang penyimpanan termasuk tempat tudung, pakaian kerja dan aksesori
“Saya juga berkongsi teknik penyimpanan lebih praktikal termasuk mencadangkan pelanggan yang sibuk bekerja supaya menggantung pakaian berbanding melipatnya.
“Saya akan ajar pelanggan cara lebih mudah untuk kekalkan keadaan rumah mereka supaya tak kembali berselerak selepas beberapa minggu,” katanya.
Wan Malini berkata, pada mulanya keluarga terkejut apabila mengetahui dia memilih kerjaya itu kerana tidak menyangka minat mengemas boleh dijadikan sumber pendapatan.
“Saya sendiri pun tak sangka pekerjaan ini boleh pergi jauh. Apabila sudah cuba baru nampak sebenarnya memang ada permintaan tinggi.
“Saya berharap perkhidmatan ini akan lebih dikenali masyarakat dan saya tidak menolak kemungkinan untuk mengembangkan perkhidmatan ini ke Singapura dan negara Asia Tenggara lain pada masa depan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




