Bulan Sinergi Putra 2026 terjemah impak pelan strategik UPM kepada masyarakat

Bulan Sinergi Putra 2026 terjemah impak pelan strategik UPM kepada masyarakat

KUALA LUMPUR – Universiti Putra Malaysia (UPM) terus mengorak langkah sebagai universiti berteraskan masyarakat apabila melancarkan Bulan Sinergi Putra 2026 yang berlangsung sepanjang bulan Jun dengan tema “Daripada Kampus kepada Impak Nasional dan Global: Sinergi Menjana Masa Hadapan Mampan.”

Majlis peluncuran yang berlangsung di Dewan Besar Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS), UPM pada 15 Jun disempurnakan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Profesor Datuk Dr Azlinda Azman serta dihadiri, Naib Canselor UPM, Profesor Datuk Ir Dr Ahmad Farhan Mohd  Sadullah.

Penganjuran Bulan Sinergi Putra 2026 menjadi manifestasi komitmen UPM untuk menterjemahkan pelan strategik universiti kepada tindakan yang memberikan impak nyata kepada masyarakat, negara dan dunia.

Dalam ucapan perasmiannya, Azlinda berkata, institusi pendidikan tinggi awam tidak lagi boleh bergerak secara silo atau bersikap pasif.

Sebaliknya kata beliau, universiti perlu memainkan peranan sebagai enjin pertumbuhan negara, pusat penyatuan sosial dan pemangkin penyelesaian kepada pelbagai cabaran yang dihadapi masyarakat secara dinamik serta berkesan.

Menurut beliau, tema Bulan Sinergi Putra 2026 amat bertepatan dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang mahu melihat segala pengetahuan, inovasi dan penyelidikan dihasilkan di universiti diterjemahkan kepada manfaat sebenar kepada rakyat.

”Universiti tidak boleh sekadar berpuas hati dengan pencapaian akademik dan reputasi institusi semata-mata. Setiap ringgit dibelanjakan perlu diterjemahkan kepada impak yang dapat dirasai oleh masyarakat.

“UPM sedang menghantar isyarat jelas bahawa segala penemuan, dasar dan inovasi yang lahir dari kampus ini bersedia untuk menyumbang kepada pembangunan negara serta kemampanan sejagat,” katanya.

Azlinda ketika berucap melancarkan Bulan Sinergi Putra 2026 di UPM pada 15 Jun lepas.

Azlinda ketika berucap melancarkan Bulan Sinergi Putra 2026 di UPM pada 15 Jun lepas.

Beliau turut memuji pendekatan strategik UPM yang memberi penekanan kepada keterjaminan makanan, pertanian, kelestarian alam sekitar, pembangunan komuniti dan pengantarabangsaan universiti secara seimbang.

Menurutnya, kekuatan UPM terletak pada kemampuannya membina jaringan kukuh dengan industri dan masyarakat yang bukan sahaja meningkatkan keterlihatan universiti, malah membantu melahirkan graduan lebih holistik, berdaya tahan serta bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.

Azlinda turut memuji perancangan rapi dalam merencanakan inisiatif ini, bermula dengan Makmal Petunjuk Prestasi (KPI) UPM pada 23 April lalu yang menghimpunkan kira-kira 200 peserta termasuk pengurusan tertinggi universiti, Ketua Pusat Tanggungjawab (PTJ), Timbalan Ketua PTJ dan pentadbir untuk menghasilkan draf awal interim KPI UPM 2026 secara kolektif.

Menurut beliau lagi, cabaran terbesar mana-mana organisasi bukan sekadar merangka pelan strategik, tetapi memastikan pelan tersebut benar-benar dilaksanakan.

Justeru, katanya, penganjuran Bulan Sinergi Putra 2026 merupakan jawapan tuntas UPM untuk memastikan strategi universiti tidak hanya menjadi dokumen rasmi yang tersimpan, sebaliknya diterjemahkan kepada tindakan nyata di peringkat universiti, PTJ dan warga kampus.

Azlinda melawat reruai Pejabat Pendaftar UPM dan mendengar taklimat berkaitan aktiviti pengukuhan Jiwa Putra meliputi Info Integriti dan program kesedaran kepada warga UPM.

Azlinda melawat reruai Pejabat Pendaftar UPM dan mendengar taklimat berkaitan aktiviti pengukuhan Jiwa Putra meliputi Info Integriti dan program kesedaran kepada warga UPM.

Beliau berkata, pelbagai pengisian sepanjang bulan tersebut membuktikan bahawa UPM sedang menggerakkan strategi secara hidup dan bersepadu.

Pameran khas, pertandingan poster, kolokium ilmiah, program kesihatan, aktiviti pertanian, inisiatif kelestarian dan program komuniti menjadi bukti bahawa dokumen strategik universiti sedang diterjemahkan kepada tindakan yang boleh dilihat, dirasai serta dinilai impaknya.

Beliau turut menekankan bahawa impak organisasi yang disasarkan melalui Bulan Sinergi Putra amat penting, khususnya dalam usaha memperkukuh penyelarasan sinergi organisasi dan mengurangkan jurang silo antara fakulti, PTJ serta rakan strategik.

“Melalui pengukuhan kolaborasi merentas fakulti, PTJ dan rakan strategik, kecekapan pelaksanaan inisiatif utama universiti dapat ditingkatkan dengan ketara.

“Pengisian seperti pameran khas, pertandingan poster dan kolokium ilmiah disusun sepanjang bulan ini akan menggantikan tembok pemisah dengan jambatan sinergi yang kukuh,” katanya.

Antara program utama dilancarkan sempena Bulan Sinergi Putra ialah Pelan Pemacu Kesohoran Global UPM (Putra Globe) yang menjadi peta hala tuju pengantarabangsaan universiti bagi tempoh 2026 hingga 2035.

Inisiatif tersebut bertujuan memperkukuh agenda pengantarabangsaan UPM melalui pemerkasaan jaringan strategik global, peningkatan mobiliti antarabangsa, pengukuhan keterlihatan institusi dan pembudayaan perspektif global dalam kalangan warga universiti.

Turut berlangsung ialah Pameran Impak Global Inovasi UPM yang menampilkan pelbagai hasil penyelidikan dan inovasi universiti termasuk usaha penjenamaan UPM sebagai peneraju nasional dalam bidang AI Agri Bio.

Bagi memperkukuh dimensi antarabangsa universiti, Fakulti Ekologi Manusia pula menganjurkan program Semarak Siswa Madani: Menyulam Harmoni, Membina Kelestarian bersempena The 10th Summer Course Program “Nurturing Harmony in Family Life for Socio-Ecological Sustainability” yang menghimpunkan peserta dari pelbagai negara bagi membincangkan peranan keluarga dalam mewujudkan kelestarian sosio-ekologi selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs).

Dalam masa sama, UPM turut memberi perhatian serius terhadap kesejahteraan warga kampus melalui pelaksanaan pelbagai program kesihatan termasuk ceramah “Rebuilding Resilience after Burnout” di Hospital Sultan Abdul Aziz Shah serta program Saringan Kesihatan UPMS di Universiti Putra Malaysia Sarawak yang bertujuan meningkatkan kesedaran terhadap penjagaan kesihatan dan amalan gaya hidup sihat.

Platform kekuatan universiti

Sementara itu, Ahmad Farhan berkata, Bulan Sinergi Putra bukan sekadar sebuah program tahunan, tetapi merupakan platform untuk menyatukan seluruh kekuatan universiti dalam mendepani cabaran masa hadapan.

Menurut beliau, kejayaan sesebuah universiti pada masa kini tidak lagi boleh diukur hanya berdasarkan pencapaian akademik atau kedudukan ranking semata-mata, sebaliknya perlu dinilai berdasarkan sumbangan kepada kesejahteraan manusia dan kelestarian alam sekitar.

“UPM komited untuk menjadi institusi yang bukan sahaja melahirkan graduan berkualiti, malah turut memacu penyelesaian kepada cabaran besar dunia termasuk isu keselamatan makanan, perubahan iklim, kesihatan planet dan kesejahteraan masyarakat,” katanya.

Selaras dengan komitmen tersebut, UPM turut melancarkan UPM Planetary Health and Sustainability Blueprint, sebuah kerangka strategik universiti yang akan memandu pelaksanaan agenda kesihatan planet, pembangunan mampan dan kesejahteraan komuniti melalui pendidikan, penyelidikan, inovasi serta jaringan strategik.

Menurut beliau, kejayaan agenda kesihatan planet memerlukan penglibatan dan komitmen semua pihak kerana kesejahteraan manusia, alam sekitar saling berkait serta tidak boleh dipisahkan.

Dalam aspek keterjaminan makanan, pelbagai program menarik dianjurkan di bawah fokus Pertanian dan Keterjaminan Makanan yang merupakan identiti utama UPM sejak penubuhannya.

Antaranya termasuk program Visit and Have Fun Ladang Puchong, Wira Kulinari, Hook, Catch & Pay Fishing, Pick on Your Own, jualan produk segar ladang serta sesi perkongsian ilmu pertanian yang membuka peluang kepada warga kampus dan masyarakat untuk memahami secara lebih dekat ekosistem pengeluaran makanan negara.

Selain itu, pertandingan video keterjaminan makanan yang melibatkan alumni, pelajar dan staf turut dianjurkan bagi menggalakkan perkongsian idea kreatif mengenai isu kelestarian serta sekuriti makanan menerusi platform digital.

Bagi menyemarakkan budaya kerja berkualiti dan rasa bangga terhadap institusi, UPM turut mengadakan pelbagai program di bawah fokus Jiwa Putra, termasuk Program “Jiwa Putra Membudaya EKSA UPM”, Pertandingan Videografi Bulan Sinergi Putra bertemakan “Di Sebalik Kampus Tersimpan Kebanggaan UPM” selain Kolokium Sinergi Putra yang menghimpunkan pelbagai perkongsian ilmu, idea serta amalan terbaik daripada warga universiti.

Dalam usaha memperkukuh komitmen terhadap kelestarian alam sekitar pula, UPM menganjurkan pelbagai aktiviti di bawah fokus Kesihatan Planet termasuk UPM Earth Hour, Engineering Battle of the Recyclers dan Race to Recycle among PTJ yang menggalakkan amalan pengasingan sisa serta budaya kitar semula dalam kalangan warga kampus.

Azlinda diwawancara oleh penyampai di konti Putra FM, radio rasmi UPM bersempena pelancaran Bulan Sinergi Putra 2026.

Azlinda diwawancara oleh penyampai di konti Putra FM, radio rasmi UPM bersempena pelancaran Bulan Sinergi Putra 2026.

Majlis peluncuran tersebut turut disiarkan secara langsung menerusi Putra FM 90.7 bagi membolehkan warga kampus serta masyarakat mengikuti perkembangan program secara lebih meluas.

Bulan Sinergi Putra 2026 ini membuktikan komitmen berterusan UPM dalam memperkukuh kecemerlangan akademik, meningkatkan kesejahteraan warga, memperluaskan jaringan global, memacu inovasi pertanian dan keterjaminan makanan selain mengangkat agenda kelestarian demi manfaat masyarakat serta negara.

Ia merupakan simbol kesepaduan warga universiti dalam merealisasikan aspirasi UPM sebagai universiti yang berupaya menghubungkan ilmu, inovasi dan kemanusiaan untuk menghasilkan impak nasional serta global mampan.

Scroll to Top