Bung Moktar dirawat di hospital, Hajiji doakan kesembuhan

Bung Moktar dirawat di hospital, Hajiji doakan kesembuhan

am@hmetro.com.my

Kota Kinabalu: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor mendoakan kesihatan Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang difahamkan sedang menerima rawatan di sebuah hospital swasta.

“Saya mendoakan agar Datuk Seri Bung Moktar Radin diberikan kesembuhan segera serta dipermudahkan segala urusan rawatan beliau.

“Semoga Allah SWT mengurniakan kekuatan, ketabahan dan perlindungan kepada beliau serta seluruh ahli keluarga dalam menghadapi ujian ini.

“Sesungguhnya setiap dugaan ada hikmahnya. Insya Allah, mudah-mudahan beliau segera pulih dan kembali seperti sedia kala,” katanya dalam hantaran di Facebook, malam ini.

Sementara itu, anak lelaki Bung, Naim Moktar menerusi hantaran di Facebook menzahirkan penghargaan terhadap semua pihak yang melaksanakan solat hajat untuk bapanya itu.

“Selaku wakil keluarga, saya ingin menyampaikan setinggi-tinggi terima kasih kepada seluruh imam di Lamag yang berusaha mengadakan solat hajat serta memohon doa kepada Allah SWT demi kesihatan ayahanda saya.

“Doa dan keprihatinan imam-imam amat kami hargai dan menjadi sumber kekuatan kami sekeluarga. Semoga Allah SWT memberkati segala usaha dan mengurniakan ganjaran yang berlipat ganda kepada tuan-tuan,” katanya.

Setakat ini, belum ada sebarang maklumat rasmi dikeluarkan mengenai keadaan kesihatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag dan Ahli Parlimen Kinabatangan itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top