Bunuh 2 wanita Indonesia, lelaki didakwa Jumaat ini

Bunuh 2 wanita Indonesia, lelaki didakwa Jumaat ini

SIBU: Seorang lelaki berusia 31 tahun yang didakwa membunuh dua wanita warga Indonesia di Daro bulan lalu akan menghadapi pertuduhan di Mahkamah Tinggi Sibu, Jumaat ini.

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Sibu, Christopher Chin Soo Yin, menetapkan tarikh itu ketika tertuduh, Ahmad Robin dibawa ke mahkamah di sini hari ini, untuk sebutan kes.

Kes tertuduh dipindahkan ke Mahkamah Tinggi daripada Mahkamah Majistret Sarikei dan tiada pertuduhan dibacakan kepada lelaki itu.

Mahkamah juga menetapkan perbicaraan akan bermula dengan suami kepada mangsa wanita itu memberi keterangan selepas sebutan semula kes pada tarikh ditetapkan.

Ini bagi membolehkan suami mangsa membawa pulang jenazah isteri masing-masing ke Indonesia untuk dikebumikan.

Ahmad berdepan dua pertuduhan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Sarikei pada 25 Februari lalu.

Bagi pertuduhan pertama, dia dituduh membunuh Pandang Sarang pada jam 11 pagi di sebuah ladang kelapa sawit di Daro pada 11 Februari lalu, manakala pertuduhan kedua pula, dia didakwa membunuh Muli Laha pada jam 11 malam hari sama di sebuah lagi ladang kelapa sawit di Daro.

Pendakwaan kes dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Dona Liyanna Sabariah Azmi, manakala tertuduh diwakili peguam Ben Lau. – BERNAMA

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top