Burj Al Arab ditutup 18 bulan untuk pengubahsuaian

Burj Al Arab ditutup 18 bulan untuk  pengubahsuaian

Dubai: Hotel mewah Burj Al Arab di sini akan ditutup bagi menjalani pengubahsuaian besar-besaran selama 18 bulan, menurut seorang kakitangan pada 15 April.

Ia pengubahsuaian pertama sejak hotel itu dibuka pada 1999 dan dilakukan ketika sektor pelancongan di rantau itu sedang merosot akibat konflik Amerika Syarikat-Israel dengan Iran.

Pemilik hotel, Jumeirah dalam satu kenyataan pada 14 April berkata, kerja pengubahsuaian akan dijalankan secara berfasa selama kira-kira 18 bulan dan dikendalikan oleh arkitek dalaman berpangkalan di Paris, Tristan Auer.

Bagaimanapun, kenyataan rasmi itu tidak menyatakan secara khusus bahawa hotel berkenaan akan ditutup sepenuhnya sepanjang tempoh pengubahsuaian.

Seorang kakitangan memaklumkan bahawa pihak hotel menawarkan penginapan alternatif di hotel berhampiran kepada tetamu yang sudah membuat tempahan sepanjang berkenaan sambil menambah bahawa tempoh penutupan tertakluk kepada perubahan.

Hotel berbentuk layar itu yang juga salah satu mercu tanda paling terkenal di Dubai dan hartanah utama kumpulan Jumeirah dilaporkan mengalami sedikit kerosakan apabila serpihan daripada pintasan serangan dron Iran terkena pada fasadnya awal Mac lalu.

Kakitangan itu berkata, kerja pengubahsuaian yang “lama dinantikan” itu tidak mempunyai kaitan dengan insiden pada Mac lalu.

Jumeirah yang berpangkalan di Emiriah Arab Bersatu (UAE) juga tidak mengaitkan projek berkenaan dengan konflik dalam kenyataan rasminya.

Bagaimanapun, pemilihan masa pelaksanaan projek itu menarik perhatian kerana konflik berkenaan menjejaskan perjalanan ke Dubai dengan gangguan penerbangan turut memberi kesan kepada UAE.

Selain itu, kumpulan perhotelan mewah turut memberi amaran mengenai tekanan terhadap keuntungan susulan permintaan pelancong yang semakin lemah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top