KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup rendah untuk hari kedua berturut-turut hari ini dengan kegiatan penjualan dilihat di keseluruhan pasaran.
Pada masa sama, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diperluaskan ke seluruh negara turut mempengaruhi sentimen pasaran.
Namun begitu, prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku pertama 2021 yang lebih baik daripada jangkaan membantu mengurangi penurunan seterusnya.
Pada jam 5 petang, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menyusut 6.28 mata atau 0.39 peratus kepada 1,577.64 daripada 1,583.92 ketika mengakhiri urus niaga petang Isnin.
Indeks utama yang dibuka lemah 4.61 mata pada 1,579.31 pagi ini berlegar antara 1,571.96 dan 1,581.26 sepanjang sesi urus niaga hari ini.
Pergerakan harga di keseluruhan pasaran negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung dengan jurang yang lebar iaitu 980 berbalas 199 sementara 360 kaunter tidak berubah, 629 tidak diniagakan dan 12 yang lain digantung.
Jumlah dagangan merosot kepada 5.5 bilion saham bernilai RM2.9 bilion daripada 6.01 bilion saham bernilai RM3.53 bilion pada Isnin.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam mengumumkan seluruh negara akan ditempatkan di bawah PKP mulai 12 Mei sehingga 7 Jun untuk mengekang lonjakan jangkitan COVID-19 baru-baru ini.
Sementara itu, Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan ekonomi negara mencatat penguncupan 0.5 peratus pada suku pertama 2021 berbanding penurunan 3.4 peratus pada suku sebelumnya, menandakan pemulihan dengan peningkatan dilihat dalam semua sektor ekonomi.
Gabenor BNM, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus, berkata Malaysia tetap berada di landasan yang betul untuk mencapai pertumbuhan KDNK yang diunjurkan antara 6.0 peratus hingga 7.5 peratus pada 2021 berdasarkan kepada pemulihan permintaan dalam negeri.
Mengulas mengenai pasaran ekuiti pula, ahli ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim, berkata pelaksanaan PKP di seluruh negara mempengaruhi sentimen pasaran secara keseluruhan.
Beliau berkata, pertumbuhan pada suku pertama 2021 tidak mencukupi untuk melonjakkan bursa tempatan kerana saham perbankan di bawah indeks FBM KLCI sama ada tidak berubah atau lebih rendah sepanjang sesi urus niaga.
Selain itu, pelabur bimbang dengan kenaikan harga pengguna di Amerika Syarikat (AS) di tengah bekalan bahan asas yang ketat, katanya.
Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank turun lima sen kepada RM8.19, PetChem menyusut tiga sen kepada RM8.22, IHH Healthcare jatuh lapan sen kepada RM5.58 sementara Public Bank tidak berubah pada RM4.10.
Bagaimanapun, Tenaga menambah satu sen kepada RM9.91 sementara Press Metal dan Top Glove masing-masing naik dua sen kepada RM5.40 dan RM5.18.
Bagi saham aktif, Focus Dynamics turun 1.5 sen kepada 6.5 sen, Fintec menyusut setengah sen kepada empat sen sementara Pegasus dan AT Systematization tidak berubah masing-masing pada dua sen dan sembilan sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas lebih rendah 83.08 mata pada 11,533.26, Indeks FBMT 100 merosot 66.61 mata kepada 11,211.43, Indeks FBM Emas Syariah turun 86.89 mata kepada 12,935.22, FBM ACE jatuh 241.35 mata kepada 7,896.49 dan FBM 70 kehilangan 174.51 mata kepada 14,992.76.
Jualan besar-besaran juga dilihat dalam kalangan saham permodalan kecil yang menyaksikan FBM SCAP merosot 376.6 mata kepada 16,475.04.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 83.44 mata kepada 14,706.1, Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri merosot 1.82 mata kepada 197.34, dan Indeks Perladangan turun 93.82 mata kepada 7,056.31.
Jumlah dagangan di Pasaran Utama turun kepada 3.33 bilion saham bernilai RM2.40 bilion berbanding 3.76 bilion saham bernilai RM2.82 bilion pada Isnin.
Perolehan waran pula berkurangan kepada 336.22 juta unit bernilai RM36.68 juta daripada 349.71 juta unit bernilai RM35.37 juta semalam.
Jumlah dagangan di Pasaran ACE menyusut kepada 1.85 bilion saham bernilai RM458.09 juta daripada 1.91 bilion saham bernilai RM683.27 juta sebelumnya.
Produk dan perkhidmatan pengguna merangkumi 458.11 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan industri (852.45 juta), pembinaan (125.334 juta), teknologi (392.83 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (46.04 juta), hartanah ( 679.18 juta), perladangan (84.24 juta), REIT (5.19 juta), dana tertutup (26,000), tenaga (335.75 juta), penjagaan kesihatan (75.26 juta), telekomunikasi dan media (70.29 juta), pengangkutan dan logistik (187.07 juta) dan utiliti (18.7 juta).
Sempena cuti umum sambutan Hari Raya Aidilfitri pada hari Khamis dan Jumaat, Bursa Malaysia dan anak-anak syarikatnya akan ditutup mulai tengah hari pada Rabu, 12 Mei.
Bagaimanapun, perkhidmatan penjelasan, penyelesaian dan depositori yang disediakan oleh Bursa Malaysia Depository dan pejabat Bursa Malaysia Securities serta Bursa Malaysia Derivatives akan terus beroperasi seperti biasa dan dibuka sehingga penghujung hari perniagaan, kata bursa itu dalam satu kenyataan semalam.
Bursa Malaysia akan ditutup mulai 13-16 Mei dan perdagangan akan beroperasi semula pada hari Isnin depan.
-BERNAMA
© New Straits Times Press (M) Bhd




